Keadaan Perodua Bezza dan sebuah daripada lori yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas terlibat dalam satu kemalangan yang melibatkan tujuh buah kenderaan di Jalan Bypass Lido – Lintas, di sini, jam 6 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, panggilan diterima mengenai kejadian itu menerusi talian MERS999 dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd Zulfadli Bin Usman bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh enam kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan tujuh buah kenderaan iaitu jenis Perodua Bezza, Perodua Myvi, Toyota Vios, Proton Saga, Proton Iriz dan dua buah lori.

“Terdapat seorang mangsa perempuan berusia 26 tahun tersepit di kereta Perodua Bezza tetapi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurut Ordine, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi di tamatkan pada jam 7.56 malam,” katanya.

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya terutamanya di laluan daripada arah Kepayan dan Lido menuju ke kawasan Lintas.