Raisin bergambar bersama semua kontinjen selepas majlis penyerahan bendera.
KOTA KINABALU: Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Haji Raisin Bin Saidin meminta semua atlet yang mewakili MSS Sabah ke kejohanan MSSM Peringkat Kebangsaan mempamerkan daya saing dan daya juang yang tinggi dengan mengutamakan semangat sukan tulen dan semangat berpasukan yang tinggi.
Selain itu, beliau juga berharap agar semua jurulatih, pengurus pasukan dan atlet dapat menjaga kesihatan, keselamatan dan imej Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ketika berada di kejohanan peringkat kebangsaan kelak.
Raisin memberi pesanan itu pada Majlis Penyerahan Bendera dan Amanat kepada kontinjen MSS Sabah ke Kejohanan MSSM Tahun 2023 di Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini hari ini.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja keras menjayakan pasukan MSS Sabah ke peringkat kebangsaan termasuk Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Kontinjen MSS Sabah yang akan berlepas ke kejohanan MSSM peringkat Kebangsaan kali ini pada 24-30 Ogos ialah :
* Pasukan Akuatik yang akan bertanding di Selangor.
* Pasukan Bola Keranjang di Pahang.
* Pasukan Bola Sepak di Johor.
* Pasukan Kriket di Selangor.
* Pasukan Squasy di Perak.
* Pasukan Bola Baling di Putrajaya.
* Pasukan Bola Tampar di Terengganu.
* Pasukan Ragbi di Kelantan.
* Pasukan Badminton di Pulau Pinang.
* Pasukan Memanah di Pahang.
* Pasukan Ping Pong di Sarawak.
* Pasukan Sepak Takraw di Kedah.
* Pasukan Boling Tenpin di Pulau Pinang.
Hadir sama pada Majlis Penyerahan Bendera dan Amanat Kepada Kontinjen MSS Negeri Sabah ialah Muddin Beting, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Ruslan Madisal, KPPK SPM, Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan, pengurus-pengurus pasukan, jurulatih dan para atlet.
Raisin berharap agar kontingen MSS Sabah dapat mengekalkan dua emas yang diperolehi tahun 2022 iaitu olahraga dan badminton.
“Diharapkan tahun ini kita dapat menambah dua lagi pingat emas iaitu acara akuatik dan pelayaran. Misi MSS Sabah ialah mendapat Top 3 keseluruhannya,” katanya.