Masiung bersama Nelson, Kenny dan Tokyo ketika melawat jambatan Sungai Keramuak.
TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Telupid/Tongod menyediakan semula pelan dan spesifikasi kerja pembinaan jambatan baharu yang merentasi Sungai Keramuak dalam daerah Tongod.
Beliau mahu jambatan kayu yang menjadi penghubung penduduk Kampung Kenang-Kenangan ke Keramuak itu segera diganti dengan jambatan konkrit memandangkan keadaanya yang sudah usang.
Katanya, cadangan asal pembinaan jambatan sepanjang 80 meter itu ialah RM8 juta, termasuk pembaikan jalan raya merentasi
Kampung Tenaga Baru, Keramuak Dalam hingga ke Ulu Keramuak dan terus ke Kenang-Kenangan.
“Jumlah peruntukan sedia ada tidak mencukupi bagi menyiapkan keseluruhan kerja termasuk sebuah jambatan konkrit dan ia memerlukan dana tambahan yang dianggarkan melebihi RM10 juta.
“Sebaik sahaja pelan dan spesifikasi baharu itu siap, saya akan menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memohon peruntukan tambahan sebelum dibentangkan di peringkat Kabinet,” katanya ditemui semasa melawat jambatan tersebut di sini kelmarin.
Masiung berkata, jambatan usang tersebut perlu segera diganti kerana struktur jambatan kayu sekarang sudah berusia 40 tahun dan kini telahpun mula reput dan berbahaya dilalui terutamanya kenderaan berat.
Menurut beliau, memandangkan rangkaian jalan raya menghubungi perkampungan terbabit telah dibaik pulih, maka tidak ada sebab kenapa jambatan usang berkenaan tidak diutamakan.
Jelasnya, kontraktor yang membaik pulih laluan jalan raya tersebut enggan meneruskan pembinaan jambatan berkenaan kerana peruntukan untuk mengganti sebuah jambatan konkrit yang baharu tidak mencukupi.
Pegawai Daerah Tongod, Nelson Jumal Olok dan Jurutera Daerah JKR Telupid/Tongod, Kenny Paping dan Pegawai Unit Pembangunan Masyarakat Tongod, Tokyo Hashim Omar turut serta dalam lawatan kerja ke kampung tersebut.





























