Yee Tsai Yiew
KOTA KINABALU: Amaran yang diberikan oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing mengenai kebersihan tidak memuaskan di Semporna harus dijadikan peringatan kepada seluruh sektor pelancongan di negeri ini, kata Yee Tsai Yiew .
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah Bahagian Api-Api itu berkata, amaran itu tidak terhad kepada Semporna sahaja, malahan semua tempat pelancongan di seluruh Sabah.
Bersetuju dengan kenyataan Tiong baru-baru ini, Yiew turut menggesa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew untuk bertindak pantas bagi mengelak industri pelancongan di Sabah daripada terjerumus ke dalam situasi yang teruk.
“Pihak berkuasa dan pemain industri pelancongan di Sabah perlu mengambil kira amaran Tiong sebagai kritikan membina, dan mengakui keperluan untuk menambah baik dan menaik taraf pelancongan negeri ini agar setanding dengan negara lain dirantau ini,” tegas Yiew dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Liew mesti mengakui kewujudan isu itu dan menjalankan kajian semula yang lebih komprehensif bagi memastikan keseimbangan antara aktiviti promosi dan pembangunan infrastruktur pelancongan di negeri ini.
“Kami berharap pihak Kementerian akan melihat secara serius perkara ini dan menyediakan rancangan penambahbaikan jangka pendek dan panjang, agar pelancong dapat menyaksikan perubahan positif dalam sektor pelancongan Sabah,” tambahnya.
Baru-baru ini, Tiong memuat naik beberapa imej di Facebook dan meluahkan kebimbangan beliau dan Kementerian berhubung pengalaman kurang menyenangkan yang dilaporkan oleh pelancong di Semporna, termasuk kes keracunan makanan.
Tiong mengarahkan jabatan di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan (MOTAC) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri supaya mengemukakan cadangan dalam tempoh tiga hari bagi menangani pelbagai isu yang dibangkitkan.
Berdasarkan pelbagai isu yang dibangkitkan, Yiew menyarankan agar pihak berkuasa negeri menumpukan usaha menambah baik infrastruktur pelancongan khususnya berkaitan perkhidmatannya dengan memberi penekanan kepada kebersihan dan penambahbaikan perkhidmatan hospitaliti, bagi membentuk semula imej Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.