Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Jemaah Menteri Negeri Sabah telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) yang bertujuan untuk menyelaras program-program pembangunan keusahawanan dan membincangkan isu-isu semasa serta menyelaras penyaluran bantuan kewangan dari pelbagai pihak sama ada melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri atau Persekutuan.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe berkata, penubuhan JPPKNS ini adalah selari dengan hasrat Datuk Ewon Benedick selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang mahukan Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan satu Jawatankuasa yang bertanggungjawab menyelaras program-program Pembangunan Keusahawanan, membincang dan merangka strategi untuk menangani isu-isu yang berkaitan Pembangunan keusahawanan di Sabah.
“Selain itu, objektif penubuhan JPPKNS juga adalah menyelaras halatuju pembangunan keusahawanan yang inklusif antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, menjadi platform dalam membuat keputusan dasar, menyelaras pelaksanaan program atau aktiviti di peringkat negeri bagi mengurangkan pertindihan, menyelaras langkah-langkah inisiatif untuk menangani isu, masalah dan cabaran bagi memperkasakan ekosistem keusahawanan dan mewujudkan pangkalan data usahawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat JPPKNS akan dipengerusikan oleh Phoong, manakala Timbalan Pengerusi adalah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Setiausaha JPPKNS adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.
Keanggotaan JPPKNS melibatkan 21 agensi yang terdiri daripada Setiausaha Tetap Kementerian dan Ketua Jabatan yang bertanggungjawab ke atas Pembangunan Keusahawanan dan Ekonomi dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Menteri KUSKOP iaitu Menteri yang bertanggungjawab mengurus keusahawanan diperingkat Kerajaan Persekutuan, akan dijemput menjadi pengerusi bersama dalam JPPKNS dari masa ke semasa.
Phoong berkata, bagi melicinkan perjalanan mesyuarat JPPKNS, satu unit akan diwujudkan untuk menjadi Urus Setia bagi melaksanakan tugas-tugas sebagai pusat rujukan untuk menyalurkan pelbagai maklumat mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam pembangunan keusahawanan.
Disamping itu katanya, Unit ini juga akan memberikan khidmat nasihat dan menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan bantuan geran, program yang dianjurkan dan latihan yang disediakan oleh pelbagai Agensi dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk bertindak sebagai sumber rujukan utama kepada usahawan.
“Adalah diharapkan dengan penubuhan JPPKNS ini, ia akan menjadi platform rasmi untuk menerajui Pembangunan Keusahawanan di Negeri Sabah dan kerjasama erat antara Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang dilantik akan dapat meningkatkan keberkesanan usaha Kerajaan dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosio ekonomi negara yang seimbang dan mampan,” katanya.