Pemain England meraikan kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Dunia Wanita selepas menumpaskan Australia malam ini.
SYDNEY, Australia: Berdepan gegak-gempita 75,784 penonton setia Australia tidak langsung menggerunkan England untuk melakar kemenangan sensasi 3-1 malam ini, sekali gus melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia Wanita buat kali pertama.
Skuad The Lionesses pernah terkandas di separuh akhir dua kali sebelum ini, namun hari ini, juara Eropah itu tidak melakukan kesilapan untuk menyingkirkan tuan rumah, Australia di depan ribuan penyokong mereka.
Menurut Utusan Malaysia, kemenangan itu bakal menemukan England dan Sepanyol dalam perlawanan akhir, Ahad ini. Siapa pun yang memenangi perlawanan tersebut bakal memahat sejarah memenangi kejuaraan dunia buat kali pertama.
England yang bermula agresif terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi rembatan ‘roket’ bintang Manchester United, Ella Toone dari dalam kotak penalti.
Penyerang Chelsea, Sam Kerr menceriakan penyokong tuan rumah dan ‘membakar’ semula semangat pemain Australia apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-63 menerusi tendangan dari jarak 30 ela.
Kegembiraan penonton di Stadium Australia bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pertahanan skuad Matildas gagal menyekat hantaran jauh England tujuh minit kemudian.
Lauren Hemp melepaskan rembatan ke penjuru gawang lawan untuk kembali meletakkan The Lionesses di depan sebelum Alessia Russo membuatkan ribuan penyokong Australia terdiam dengan meledak gol ketiga England, empat minit sebelumtamat permainan.