Pertahanan Nottingham Forest, Serge Aurier (tengah) menanduk bola dari kawasan bahaya ketika menentang Arsenal dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London malam tadi.
LONDON: Arsenal memulakan kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan, namun dipaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan Nottingham Forest 2-1, malam tadi.
Jaringan babak pertama menerusi Eddie Nketiah dan Bukayo Saka meletakkan tuan rumah mendahului 2-0 di Emirates.
Begitupun, Forest memberi tekanan pada separuh masa pertama, malah jaringan pemain gantina, Taiwo Awoniyi pada minit ke-82 membuatkan Gunners berpeluh seketika sebelum mengesahkan kemenangan.
Perlawanan bermula dnegan memalukan buat Arsenal apabila sepak mula tertangguh 30 minit gara-gara berlaku isu dalam sistem e-tiket yang menyebabkan berpuluh-puluh ribu peminat tidak dapat mengambil tempat mereka tepat pada waktunya.
Sebaik sahaja perlawanan berlangsung, tiga bintang baharu Arsenal yang memaksa mereka berbelanja 200 juta pound (RM1.17 bilion), Declan Rice, Kai Havertz dan Jurrien Timber diberikan penampilan sulung bersama Gunners.
Bagaimanapun, tiga mata yang diraih tuan rumah dibayar dengan harga mahal selepas Timber terpaksa dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan.