Yee Tsai Yiew
KOTA KINABALU: Kanak-kanak perlukan persekitaran prasekolah yang selamat dan sihat sebagai pendedahan kepada pendidikan awal mereka, kata Yee Tsai Yiew.
Justeru, Ketua Penerangan Bahagian Api-Api Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, setiap tadika seharusnya menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan untuk kanak-kanak kerana sesi prasekolah adalah masa bagi mereka membina keyakinan dan jati diri.
“Insiden penderaan kanak-kanak yang didakwa berlaku di salah sebuah tadika swasta di sini baru-baru ini amat membimbangkan, kerana kejadian sedemikin dikhuatiri membantutkan perkembangan pendidikan awal mereka,” katanya.
Sambil menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan segera dan seterusnya mengambil tindakan serius terhadap individu terbabit, beliau berkata, adalah penting untuk memastikan langkah perundangan diambil bagi menegakkan keadilan, kerana kejadian itu telah mendapat kecaman meluas daripada orang ramai.
Yiew juga menyeru pihak berkuasa untuk melihat secara menyeluruh dari pelbagai aspek pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak, dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan memperkenalkan dasar yang menggalakkan sekolah meningkatkan latihan guru mereka, agar ia mampu memupuk semangat kanak-kanak untuk belajar.
“Ia juga akan mewujudkan mekanisme penyeliaan yang lebih ketat dan memperkenalkan penilaian profesional berkala mengenai kesesuaian tadika dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang sihat dan selamat.”
Yiew juga berharap pihak berkuasa memastikan mangsa yang didera, serta ibu bapanya, mendapat sokongan dan kaunseling sewajarnya agar mereka pulih daripada trauma kejadian itu.
Baru-baru ini, seorang pekerja wanita sebuah tadika di Luyang telah didakwa mendera seorang kanak-kanak berusia empat tahun, dan perbuatannya telah dirakam CCTV.
Kejadian itu menjadi tular berikutan laporan yang dibuat oleh ibu mangsa, pengusaha dan penjaga tadika.