Dr. Joachim (tengah) bergambar bersama para petugas media.
KOTA KINABALU: Peranan para petugas media yang membuat liputan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terus dihargai.
Bukan sekadar menyediakan ruang dan lokasi yang strategik, pengurusan DUN Sabah juga komited memastikan faktor keselesaan, keselamatan, kualiti sajian serta kemudahan internet berkelajuan tinggi sentiasa di tahap yang terbaik.
Malah, pusat media yang dikendali bersama Jabatan Penerangan Negeri Sabah itu, turut menjadi pusat interaksi di antara para pengamal media dengan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Sabah Yang Keenam Belas yang berlangsung sejak Selasa, pusat media berkenaan menyaksikan beberapa ADUN menyantuni para petugas media sebagai menghargai tugas serta publisiti meluas yang diberikan sepanjang tempoh persidangan.
Antaranya ialah Timbalan Ketua Menteri II, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri Sanis, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong Jin Zhe serta beberapa ADUN lain yang menyumbang makanan ringan.
Turut meluangkan masa bertemu dengan petugas-petugas media ialah Timbalan Speaker DUN yang baharu, Datuk Al Hambra Juhar.
Terletak di Aras 3 bangunan terbabit, Pusat Media DUN berkapasiti 50 orang pada satu-satu masa sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam menyebar dan menyampaikan maklumat kerajaan serta dasar kepada rakyat.































