Arkorn Yuenyong cedera di kakinya akibat ditembak polis.
BANGKOK: Gara-gara memakai topi keledar di dalam sebuah bank yang terletak di pusat beli-belah, seorang penghantar barang ditembak oleh polis di Thailand.
Pegawai polis melepaskan tembakan tersebut selepas mendapati lelaki itu melanggar peraturan keselamatan dengan memakai topi keledar ketika berada di dalam bank di pusat beli-belah terletak di wilayah Pathum Thani berhampiran Bangkok.
Menurut Utusan Malaysia, thethaiger.com melaporkan, mangsa dikenali sebagai Arkorn Yuenyong, 27, cedera di kaki kirinya selepas ditembak oleh Timbalan Inspektor Trafik, Phantae Buawichaisin.
Kekecohan antara kedua-dua individu tercetus berikutan Arkorn enggan mematuhi arahan pegawai polis itu untuk menanggalkan topi keledarnya ketika berada dalam pusat beli-belah berkenaan.
Phantae mengeluarkan arahan demikian atas langkah menjaga keselamatan bank dan kedai emas dalam premis pusat beli-belah itu memandangkan kebanyakan pencuri menyembunyikan identiti dengan memakai topi keledar ketika melakukan jenayah.
Ekoran itu, Phantae terpaksa menembak penghantar barang berkenaan.
Arkorn kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Sakkarin Chato berkata, Arkorn memakai topi keledar di dalam pusat beli-belah hampir setiap hari untuk memasukkan wang di mesin deposit tunai automatik.
Katanya, mereka jarang menanggalkan topi keledar kerana mempunyai jadual yang padat untuk menghantar barang.
Jelas Sakkarin, ketika kejadian, dia dan Arkorn mengunjungi sebuah pusat beli-belah untuk memasukkan wang di bank terletak dalam premis itu.
Katanya, seorang pegawai polis yang sedang duduk di medan selera menghampiri mereka dan meminta Arkorn menanggalkan topi keledarnya.
“Ketika itu, Arkorn sudah selesai memasukkan wang dan mahu meninggalkan bank tersebut. Dia mengingkari arahan polis dan terus berjalan ke arah pintu keluar.
“Pegawai polis itu kemudian mengejar Arkorn lalu mengeluarkan pistol dan terus menembaknya,” katanya.