Johainizamshah menunjukkan surat arahan penyukatan tanah RSP semasa menerima surat itu di Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur, Kota Kinabalu.
KINABATANGAN: Hasrat rakyat Kinabatangan untuk memiliki bandar baharu Kinabatangan dijangka menjadi kenyataan tidak lama lagi, kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Johainizamshah Johari.
Katanya, perkembangan positif itu berikutan pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Daerah telah menerima arahan Kertas Ukur (Registered Survey Paper atau RSP) daripada Pengarah Tanah dan Ukur.
Menurutnya, Majlis Daerah Kinabatangan (MDK) telah mengenal pasti dan memohon tanah dengan keluasan 157.48 ekar untuk tujuan membina bandar baharu Kinabatangan.
“Dengan usaha gigih yang dilakukan oleh Pegawai Eksekutif MDK bersama Pegawai Daerah Kinabatangan, JTU Kinabatangan, Pegawai Hasil Bumi Sabah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, ibu pejabat JTU telah mengeluarkan RSP untuk menyukat tanah tersebut,” katanya ketika dimaklumkan perkembangan terkini permohonan tanah tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Johainizamshah berkata, perkembangan positif itu dapat dicapai walaupun baru enam bulan beliau diberi kepercayaan menerajui PPM Lamag.
Menurutnya, cadangan mewujudkan bandar baharu Kinabatangan telah mendapat sokongan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang mahu melihat kawasan Kinabatangan membangun di bawah Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Semua ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan daripada Hajiji yang mahu Kinabatangan terus membangun,” katanya yang berharap penyukatan tanah itu dapat dibuat oleh pihak berwajib dalam tempoh terdekat.
Katanya, UPPM DUN Lamag terus bekerja membantu rakyat kawasan itu seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji mahu kawasan Kinabatangan terus menikmati pembangunan dan kemajuan seperti daerah-daerah lain.
“Kita ada perancangan serta misi dan visi untuk dipersembahkan kepada rakyat. Ini penting dalam memastikan pembangunan yang berlanjutan dan inklusif. Kerjasama dan kolaborasi antara semua pihak diperlukan untuk mencipta lingkungan yang menyokong kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan kualiti hidup dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Johainizamshah berharap rakyat di kawasan DUN Lamag khususnya dan Kinabatangan akan terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Hajiji.