PARIS: Chelsea cuba menjauhkan diri daripada laporan yang mengaitkan mereka mereka dengan rundingan mendapatkan Neymar dari Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas ini.
Laporan di Perancis memberitahu, penyerang Brazil itu terdesak meninggalkan PSG sebelum jendela perpindahan berakhir.
Menurut Utusan Malaysia, Neymar, 31, dikatakan mahu kembali ke Barcelona, namun juara Liga Sepanyol itu mengutamakan pemain lain, termasuk mendapatkan bintang tengah Manchester City, Bernardo Silva.
Chelsea turut dikaitkan dengan Neymar, dan RMC Sport semalam melaporkan kelab Liga Perdana Inggeris itu telah berhubung dengan wakil pemain tersebut.
Neymar juga mempunyai hubungan positif dengan pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino ketika mereka bekerjasama di PSG.
“Ia sangat mudah dengan Neymar kerana anda tidak perlu melakukan terlalu banyak.
“Dari hari pertama, dia sangat terbuka untuk bekerja. Dia sangat merendah diri, dia mendengar dan sentiasa menerima semua arahan dengan cara yang sangat baik,” kata Pochettino mengenai Neymar pada 2021.
Kehilangan Neymar pastinya satu tamparan buat PSG yang masih berdepan jalan buntu mengenai masa depan Kylian Mbappe yang enggan memperbaharui kontraknya.
Mereka juga sudah kehilangan Lionel Messi yang tidak menyambung kontrak dan memilih untuk berhijrah ke Amerika Syarikat (AS).