Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kini berada di landasan tepat untuk bergerak ke depan terutamanya dalam membangunkan ekonomi negara.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, ia antara lain disebabkan pelbagai langkah berkaitan dasar kerajaan sedang digerakkan di pelbagai peringkat.
Menurut Anwar, mandat yang diberikan oleh rakyat perlulah ditumpukan kepada pembangunan ekonomi bukannya demi tembolok sendiri.
“Negara ini mesti diselamatkan dari pihak yang bicara soal bersih berdegar-degar tapi realitinya jauh bertentangan.
“Kuasa yang diamanahkan mesti ditumpu kepada pemerkasaan hak serta ekonomi rakyat.
“Bukan sibuk ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri dan susun anak menantu untuk cekau dan sakau projek-projek kerajaan,” katanya dalam pengkongsian di Facebook miliknya.
Menurut beliau, perkara sama turut dibangkitkannya pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Stadium Paroi, malam Selasa
Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat perlulah menyokong usaha kerajaan untuk memperbaiki dan menstabil kerajaan.
“Lantaran itu rakyat pelbagai kaum mesti berpadu dukung Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan pemerkasaan ekonomi rakyat,” katanya.