Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan enakmen berkaitan biomass agar kuasa kawal selia berkaitan industri ini adalah terletak di bawah Kerajaan Negeri yang mana pada masa ini ianya tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak, kata Phoong Jin Zhe.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr. Daud Yusof (Bongawan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dr. Daud bertanya sejauh mana manfaat tenaga hijau (Green Technology) seperti biogas dan biomass daripada industri sawit.
Phoong berkata, kebanyakan negara kini sedang beralih ataupun dalam proses mengadaptasi konsep tenaga hijau.
“Umum mengetahui bahawa tenaga hijau memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup manusia secara amnya di samping dapat memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara,” katanya.
Menurutnya, jenis-jenis biomass berasaskan kelapa sawit adalah termasuk tandan buah sawit kosong (EFB), serat mesokarp (MF), isirong minyak sawit (PKS), batang kelapa sawit (OPT), pelepah kelapa sawit (OPF) dan effluen kilang minyak kelapa sawit (POME).
Dalam industri kelapa sawit, biogas dihasilkan secara semula jadi apabila POME terurai secara organik, jelasnya.
“Pemerangkapan dan penggunaan biogas daripada POME boleh digunakan dalam penjanaan tenaga kerana sifat kimianya yang mudah terbakar. Ini memberikan banyak faedah kepada alam sekitar kerana pembakaran biogas adalah lebih bersih kerana ia menghasilkan jumlah sulfur dan zarah yang lebih rendah serta bebas asap berbahaya.
“Walau bagaimanapun, pemerangkapan dan pengangkutan biogas ini adalah sukar untuk dilaksanakan memandangkan sumber bekalan (feedstock) biogas tersebut adalah selalunya terletak di kawasan ladang dan kilang minyak kelapa sawit itu sendiri.
“Pada masa ini, kaedah penjanaan tenaga melalui biogas yang terhasil adalah digunakan untuk menjana tenaga bagi kegunaan kilang itu sendiri sahaja,” katanya.
Menyedari akan kelebihan biomass yang boleh menghasilkan produk yang bernilai tambah tinggi seperti bio-palet, bio-bahan api
dan bio-kimia di negeri ini, Phoong berkata, Kementeriannya sedang merangka Dasar Biomass Sabah agar industri ini dapat dikembangkan lagi susulan daripada keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini.
Melalui pewujudan dasar ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan sebuah pusat pengumpulan biomass dan melantik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengurus perkara ini, katanya, sambil menambah, menerusi pewujudan pusat pengumpulan ini, ianya sudah pasti dapat mewujudkan pembekalan sumber bahan biomass (feedstock) yang konsisten seterusnya akan menarik minat pelabur untuk melabur dalam industri ini.
“Lanjutan daripada pewujudan dasar tersebut, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mewujudkan enakmen berkaitan biomass agar kuasa kawal selia berkaitan industri ini adalah terletak di bawah Kerajaan Negeri yang mana pada masa ini ianya tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak,” katanya.
Phoong berkata, penerokaan biomas ini dilihat mempunyai pelbagai potensi dan mampu memberikan manfaat terutamanya dalam sektor tenaga hijau atau tenaga yang boleh diperbaharui dan industri hiliran yang berkaitan.