Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Penjualan air melalui lori-lori tangki air swasta telah dihentikan sejak dua minggu lalu bagi memastikan tiada lagi pihak yang mengenakan kadar bayaran berlebihan kepada pengguna.
Maka, ketika ini tiada lagi lori-lori tangki air swasta yang akan menjual air secara terus kepada pengguna.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, sekiranya ada kawasan yang terputus bekalan air maka, Jabatan Air Ngeri Sabah (JANS) yang akan bertanggungjawab menghantar lori tangki air ke kawasan terlibat.
Begitu juga sekiranya premis-premis kerajaan terputus bekalan air maka, JANS akan menghantar lori tangki air ke premis kerajaan.
“Kita telah menghentikan khidmat lori swasta yang membeli air dan menjual semula ke kawasan-kawasan yang menjadi pelanggan mereka. Kita percaya dengan usaha pemulihan dan penstabilan tekanan air yang sedang kita lakukan maka, perkara ini sepatutnya tidak lagi terjadi.
“Untuk rekod, sejak dua minggu lepas, semua lori-lori swasta yang menjual air telah dihentikan,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata demikain ketika menjawab soalan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) mengenai operasi lori tangki air swasta dan adakah kerajaan menyediakan peruntukan kepada pengguna dan industri yang membeli air daripada lori tangki air swasta.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, kerajaan tidak menyediakan peruntukan bagi membayar semula air yang dibekalkan menerusi lori tangki swasta kepada pengguna sebelum ini.