Parti Warisan gagal mentransformasikan ekonomi negeri Sabah dalam masa 27 bulan pemerintahannya. – Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi Sabah menguncup pada negatif (-) 9.5 peratus semasa Parti Warisan memerintah Sabah pada tahun 2020, walaupun mewarisi pertumbuhan ekonomi atas 8 peratus pada tahun 2018.
Ini jelas menunjukkan Warisan gagal dan tidak berkemampuan untuk mentransformasikan ekonomi Sabah meskipun memerintah negeri ini selama 27 bulan.
“Tidak ingatkah pemimpin Warisan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah menguncup pada negatif (-) 9.5% pada tahun 2020 dan diwariskan pada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sedangkan semasa Warisan mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2018, mewarisi pertumbuhan ekonomi di atas 8 peratus,” kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau memberi respons kepada pemimpin Parti Warisan (Warisan) yang mempertikai nilai eksport Sabah tahun 2022 kerana 73.4 peratus jumlah nilai itu adalah daripada minyak mentah, minyak kelapa sawit dan gas LNG dan tidak seperti nilai eksport Sarawak yang mencatatkan dagangan keluaran industri pembuatan bernilai lebih separuh dari jumlah nilai eksport Sabah.
Nizam berkata, hakikatnya, pemimpin Warisan cuba mengelirukan rakyat Sabah dengan menyembunyikan fakta bahawa hasil industri pembuatan Sarawak sebenarnya adalah daripada kilang-kilang pembuatan di negeri itu yang telah wujud berdekad lamanya.
“Pemimpin Warisan sengaja membutakan mata mereka dengan menafikan kejayaan pencapaian Kerajaan GRS dalam meningkatkan ekonomi negeri Sabah walaupun baharu mentadbir Kerajaan Negeri Sabah selama dua tahun setengah.
“Kejayaan Kerajaan GRS mengadakan industri pembuatan seperti kilang pembuatan kerajang tembaga (industri hiliran oleh SK Nexilis – kerjasama Kerajaan Negeri dan Korea Selatan) dan dijangka akan mula mengeluarkan keluaran tahun hadapan adalah merupakan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan industri hiliran yang mencipta peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak/rakyat Sabah.
“Selain itu, kilang pemprosesan pasir silika syarikat Kumpulan Kibing di Sikuati, Kudat telah mencipta ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah di samping limpahan aktiviti ekonomi menerusi pengwujudan vendor-vendor perniagaan.
“Apabila keluaran hiliran ini beroperasi sepenuhnya, maka barangan akan dieksport, dan nilainya akan tercatat pada nilai dagangan negeri pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, ini berbanding dengan kerajaan Warisan selama 27 bulan (lebih dua tahun) yang lalu, di mana mereka telah gagal mentransformasikan ekonomi negeri Sabah.
“Tidak ingatkah pemimpin Warisan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah menguncup pada negatif(-) 9.5 peratus pada tahun 2020 dan diwariskan pada Kerajaan GRS, sedangkan ketika Warisan mengambil alih kerajaan negeri Sabah pada tahun 2018, ia mewarisi pertumbuhan ekonomi di atas 8 peratus.”
Kata Nizam, memang nilai eksport negeri Sabah pada tahun 2022 berjumlah RM77.2 bilion dan lebih 70 peratus adalah daripada minyak mentah,minyak kelapa sawit dan gas LNG, tetapi pada masa akan datang, nisbah itu akan berubah apabila nilai eksport daripada industri pembuatan yang menuju penyiapan dan mula mengeluarkan keluaran, dan pada gilirannya nilai dagangan Sabah bukan lagi RM118.1 bilion tetapi akan berkali ganda.
“Pewujudan kilang berasaskan pembuatan tidak sama seperti menanam jagung, tiga bulan boleh dituai hasil…kilang industri memerlukan masa.
“Sabah dalam mewujudkan kilang-kilang pembuatan mempunyai keutamaan sendiri, iaitu keutamaan daripada segi kelebihan komperatif. Atas sebab itu, sejak Kerajaan GRS mengambil alih Kerajaan Negeri pada bulan September 2020, ia memilih industri yang mempunyai kelebihan komperatif, kerana dengan pendekatan sedemikian ia tidak perlu bersaing dengan pengeluar yang sama dan juga boleh mewujudkan kos efektif.
“Pemimpin Warisan kena menerima hakikat bahawa setiap negeri mempunyai strategi dan keutamaan masing-maaing dalam mengurus perekonomiannya. Sabah menjadikan industri pelancongan, pertanian dan perladangan sebagai ‘the sunrise industry’ atau industri masa hadapan. Memang jika dilihat daripada nilai eksport, sektor pelancongan tidak dicatat sebagai nilai eksport, tetapi pada hasil kutipan pendapatan negeri.
“Dalam mempelbagai aktiviti ekonomi termasuk penyediaan pekerjaan melibatkan sebanyak mungkin rakyat di Sabah, Kerajaan Sabah mengadakan perjanjian kerjasama dengan PETRONAS berkaitan industri hiliran, selain kerjasama dengan syarikat-syarikat luar atau pelabur luar negara berkaitan tenaga boleh diperbaharui atau tenaga hijau.
“Penglibatan Sabah dalam pewujudan industri hiliran berkaitan minyak dan gas di Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) Sipitang, selain industri berkaitan minyak kelapa sawit di POIC Lahad Datu, adalah sebahagian daripada strategi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mewujudkan sebanyak mungkin peluang-peluang pekerjaan selain penglibatan ramai rakyat dalam sektor sedemikian.
“Kerajaan Sabah menerusi Hala Tuju SMJ berada di landasan betul. Ini bukan sahaja bagi menjawab kebimbangan pemimpin Warisan berkaitan peluang-peluang pekerjaan, penglibatan rakyat dan juga sumbangan pada nilai eksport Sabah, tetapi Kerajaan GRS mempunyai matlamat jelas dalam mewujudkan rakyat yang sejahtera dan negeri yang maju,” tegas ADUN Apas itu.
Bernama melaporkan pada Julai 31 jumlah perdagangan Sabah merekodkan pertumbuhan tertinggi iaitu meningkat 35.4 peratus kepada RM118.1 bilion pada 2022 berbanding RM87.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata, eksport Sabah mengekalkan pertumbuhan positif sebanyak dua digit iaitu menokok 38.6 peratus kepada RM77.2 bilion berbanding 2021.
Seiring dengan pertumbuhan eksport, import Sabah juga mencatat peningkatan 29.6 peratus daripada RM31.6 bilion kepada RM40.9 bilion pada tahun 2022 dengan lebihan dagangan berjumlah berjumlah RM36.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 50.4 peratus, katanya dalam kenyataan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah 2022.
“Penyumbang utama eksport adalah petroleum mentah bernilai RM30.3 bilion, minyak kelapa sawit (RM21.1 bilion) dan gas asli cecair (RM5.2 bilion),” katanya.
Mohd Uzir berkata, jumlah import disokong oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak RM12.4 bilion, produk makanan (RM6.4 bilion) manakala produk keluaran kilang (RM5.3 bilion).
Menurutnya, lima rakan utama yang menyumbang sebanyak 67.1 peratus kepada jumlah perdagangan luar Sabah adalah Semenanjung Malaysia iaitu 42.4 peratus, China (10.4 peratus), India (5.5 peratus) Kesatuan Eropah (4.7 peratus) dan Republik Korea (4.2 peratus).