Abidin (tengah) bergambar bersama Kong dan semua pemimpin, ahli dan penyokong parti yang hadir.
RANAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengukuhkan lagi popularitinya di kalangan rakyat di daerah ini dengan menerima kemasukan 850 ahli baharu di sini kelmarin.
Kemasukan ahli-ahli baharu itu diterima masuk ke dalam parti STAR dalam satu majlis ringkas yang turut menyaksikan pembukaan 14 cawangan Jawatankuasa Penyelaras Kawasan (JPK) STAR yang baharu.
Majlis anjuran JPK Mukim Tanah Rata STAR itu dirasmikan oleh Naib Presiden STAR merangkap Ketua Bahagian STAR Ranau, Datuk Abidin Madingkir di Dewan Mini Kampung Kigiok.
Abidin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, penambahan 850 ahli dan penyokong ini sudah pasti mengukuhkan sokongan kepada parti itu di kawasan Tanah Rata.
“Tujuan utama majlis pada hari ini adalah untuk merasmikan 14 JPK baharu Mukim Tanah Rata dan seterusnya mengalu-alukan kemasukan 850 penyokong baharu yang datang daripada pelbagai parti.
Abidin menyerahkan watikah pelantikan kepada seorang daripada 14 Ketua JPK dalam Mukim Tanah Rata.
“Terima kasih kepada penyelaras parti kerana bertungkus-lumus mencari dan menambah ahli baharu untuk parti.
“Sokongan berterusan daripada rakyat akan mengukuhkan usaha kita untuk memperjuangkan rakyat di sini,” katanya.
Beliau juga berharap JPK baharu yang dilantik dapat memainkan peranan besar dan penting dalam menjalankan tugas selain terus menarik lebih ramai lagi termasuk belia untuk menyertai STAR.
“Tahniah juga kepada semua ahli baharu kerana menyertai STAR hari ini. Anda telah membuat keputusan yang betul dengan menyertai parti ini, iaitu sebuah parti kerajaan.
“Di sini, kami ingin menyeru lebih ramai orang terutamanya belia untuk tampil ke hadapan dan menjadi ahli STAR. Dengan ini, kita boleh terus menyokong parti kerajaan yang memerintah hari ini dan menjadikan masa depan lebih cerah untuk Sabah.
“Seperti yang kita dapat lihat dengan jelas, banyak perubahan telah dilakukan sepanjang tiga tahun parti sekarang mentadbir kerajaan. Pelaburan baharu terus datang ke negeri kita dan kita perlu terus berusaha supaya ia berterusan,” katanya.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata, Kerajaan hari ini yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Hajiji Haji Noor akan berusaha untuk meneruskan prestasi yang baik, hasil sokongan padu daripada peringkat akar umbi iaitu rakyat.
Turut hadir ialah Ketua Wiramuda Pusat STAR yang juga Pengerusi Ko-Nelayan Sabah, Kong Soon Choi, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Paginatan, Japili Sigal, Setiausaha STAR Bahagian Paginatan, Juis Konsuling, Pegawai Mahkamah Anak Negeri, Ketua Kampung, ahli-ahli JPKK Mukim Tanah Rata dan lain-lain.





























