Masiung (lima dari kanan) mengetuai dalam melaungkan “Gagasan Rakyat” sebagai simbolik perasmian parti itu di PDM Masaum.
TONGOD: Kampung Masaum salah satu kawasan di daerah ini mempunyai potensi untuk dinaik taraf sebagai pekan baharu, kata ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Menurutnya, kedudukan geografi perkampungan ini amat strategik jika cadangan membina jalan raya dari Masaum ke Sook dan Nabawan menjadi kenyataan.
Katanya, cadangan pembinaan rangkaian jalan raya itu telahpun dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya dan mendapat perhatian.
Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung menyediakan tapak kurang-kurangnya 100 ekar untuk cadangan membangunkan Pekan Baharu Masaum.
Terdahulu, Masiung menyempurnakan pelancaran rasmi Gagasan Rakyat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Masaum.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan penduduk kampung berkenaan supaya mengambil langkah berhati-hati ekoran terdapat aduan wujudnya aktiviti jual beli dadah.
“Jika benar aktiviti tidak sihat yang didakwa itu berlaku tindakan perlu diambil dengan menjalankan rondaan penduduk dari masa ke semasa,“ jelasnya.





























