Sebahagian besar pemain Amerika Syarikat enggan menyanyikan lagu kebangsaan negara mereka sebelum perlawanan bermula.
NEW YORK: Personaliti televisyen Amerika Syarikat (AS), Megyn Kelly menggelar skuad bola sepak wanita negaranya sebagai biadap kerana tidak menunjukkan semangat patriotik sepanjang Piala Dunia 2023 yang sedang berlangsung di Australia dan New Zealand.
Kelly juga mendakwa bintang senior yang semakin pudar, Megan Rapinoe sebagai individu yang meracuni pemain lain untuk bersikap buruk.
Turun memburu kejuaraan ketiga berturut-turut, AS mencipta lebih banyak kontroversi berbanding gol dalam Piala Dunia kali ini apabila sebahagian pemain hanya berdiri tegak tanpa menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan bermula.
Menurut Utusan Malaysia, Rapinoe, 38, sebelum ini pernah mencipta kontroversi apabila menyokong pergerakan Black Lives Matter dengan melutut ketika lagu kebangsaan AS berkumandang sebagai sokongan kepada pemain San Francisco 49ers, Colin Kaepernick.
Dia juga pernah menyokong atlet transgender beraksi dalam kategori berlainan dengan jantina semula jadi mereka.
“Rapinoe dalang semua ini. Dia tiada dalam kesebelasan utama, jadi sebab itu kelibatnya tidak kelihatan dalam kamera apabila lagu kebangsaan dimainkan, tetapi dia di belakang perkara ini.
“Dia telah meracuni pemikiran pasukan untuk menentang negara yang mereka wakili ketika ini.
“Saya tidak akan bersama mereka dan harap mereka tewas,” jelas Kelly.
AS, yang merupakan juara empat kali akan menentang pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Sweden pada pusingan 16 akhir esok selepas muncul naib juara Kumpulan F di belakang Belanda.