Sofyan Amrabat
MANCHESTER: Manchester United perlu menjual sehingga lima pemain bagi membiayai perpindahan bintang tengah Fiorentina, Sofyan Amrabat.
Bulan lalu, pengurus United, Erik ten Hag sudah mengeluarkan 55 juta pound (RM318 juta) untuk membawa masuk bintang tengah England, Mason Mount dari Chelsea.
Jurulatih kelahiran Belanda itu bagaimanapun masih mahu menambah kekuatan di bahagian tengah sebelum memulakan kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris pertengahan bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano memberitahu, Amrabat mahu menyertai United walaupun turut menerima tawaran daripada kelab Liga Pro Saudi.
Manchester Evening News mendakwa, Red Devilsberpegang teguh kepada penilaian mereka bahawa pemain Maghribi berusia 26 tahun itu hanya bernilai 21 juta pound (RM121.45 juta).
Selain Mount, United sudahpun berbelanja besar untuk mendapatkan penjaga gol Inter Milan, Andre Onana. Kehadiran penyerang, Rasmus Hojlund tidak lama lagi menyaksikan perbelanjaan mereka mencecah 150 juta pound (RM868 juta).
Jika mahu mendapatkan Amrabat, United perlu melepaskan sekurang-kurangnya lima pemain dengan Brandon Williams, Donny van de Beek, Harry Maguire, Fred dan Scott McTominay menjadi calon untuk dijual.
Williams dikaitkan dengan kelab Liga Kejuaraan Leeds, sementara McTominay dilaporkan mahu dijual 40 juta pound (RM231 juta).