LONDON: Gabriel Jesus bakal terlepas beberapa perlawanan awal musim Liga Perdana Inggeris selepas menjalani pembedahan lutut, umum pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Menurut Utusan Malaysia, penyerang Brazil itu tidak diturun dalam perlawanan pramusim yang menyaksikan Gunners menewaskan Monaco, malam tadi, dan Arteta kemudian mengesahkan Jesus direhatkan beberapa minggu.
“Ia satu tamparan hebat kerana dia sudah kembali ke tahap terbaik, terutama ketika menentang Barcelona. Dia dalam keadaan yang baik tetapi kami harus kehilangannya.
“Malangnya, dia menjalani pembedahan kecil hari ini. Dia tidak selesa di bahagian lutut yang menyebabkan beberapa isu dan mereka mahu menyelesaikannya.
“Ia bukan masalah besar tetapi dia perlu disisihkan selama beberapa minggu,” katanya selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Arsenal mengalahkan Monaco menerusi penentuan sepakan penalti.
Musim lalu, Jesus, 26, tidak dapat beraksi tiga bulan akibat kecederaan lutut yang turut menghancurkan impiannya untuk bermain dalam Piala Dunia di Qatar.
Arsenal akan menentang juara Liga Perdana, Manchester City dalam perlawanan Perisai Komuniti di Wembley, Ahad ini, sebelum memulakan kempen liga dengan melayan kunjungan Nottingham Forest di Emirates pada 12 Ogos.