Pasukan bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan empat rumah termasuk rumah kongsi di Tawau. – Ihsan Bomba
TAWAU: Empat buah rumah termasuk dua rumah kongsi musnah terbakar di sini hari ini.
Mujur tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kejadian berlaku di Kampung Tanjung Batu Tengah, Tawau pada kira-kira jam 8 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 8.13 pagi dan sepasukan 18 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Syed Salipudin Habib Taha dikejarkan ke lokasi.
Setiba ditempat kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP itu, didapati kebakaran melibatkan empat buah rumah yang berdekatan.
Katanya, rumah pertama jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan 25×50 kaki, rumah kedua jenis tidak kekal berkeluasan 20×20 kaki, rumah ketiga adalah rumah kongsi lapan pintu dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 20×30 kaki dan rumah keempat adalah rumah kongsi empat pintu dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 30×20 kaki.
Kesemua rumah terbakar 100 peratus.
Jemishin berkata, operasi pemadaman menggunakan satu aliran 400 kaki empat pancutan sumber air terbuka.
“Tiada mangsa terlibat dilaporkan, dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.09 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.24 pagi,” katanya.































