Faimin merakamkan gambar kenangan bersama 47 Pengerusi JPKK baharu DUN Karanaan.
RANAU: Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK perlu bekerjasama dan mengekalkan hubungan baik kerana mereka adalah ikon bagi sesebuah kampung, kata Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Datuk Hj Faimin Kamin.
Katanya, tanpa hubungan baik antara Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK serta dengan penduduk kampung, sudah pasti pengurusan dan pentadbiran kampung yang baik tidak akan tercapai.
“Untuk itu, sebagai asas, Pengerusi JPKK perlu tahu batas tanggungjawab masing-masing dan tidak sama sekali mencampuri urusan atau peranan Ketua Kampung.
“Begitu juga dengan ketua kampung, elakkan sama sekali campur tangan dalam tanggungjawab seorang Pengerusi JPKK, tetapi bekerjasama untuk menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Faimin yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Paginatan berkata, antara kampung yang menjadi contoh permuafakatan padu dalam kalangan pemimpinnya di sini ialah Kampung Kilimu Ranau.
Menurutnya, Kampung Kilimu merupakan kampung contoh yang boleh dijadikan penanda aras pentadbiran dan pengurusan kampung yang terbaik oleh Pengerusi JPKK,
Tambahnya, kampung itu bukan sahaja cantik dan bersih, malah mempunyai landskap dan susun atur lokaliti yang menarik, sesuai dengan imej kampung yang pernah mendakap pencapaian membanggakan.
“Kg Kilimu pernah memenangi gelaran seperti Johan Anugerah Kampung Sejahtera Peringkat Negeri 2014 (ADS1M), Anugerah Kampung Harapan Negara 2014, Anugerah Kampung Lestari Negara 2015, Johan Anugerah Kejiranan Hijau Kebangsaan 2019 dan Pertandingan Aspirasi Kampung. Juara Sejahtera (PAKS) peringkat negeri pada 2022,” katanya.
Faimin berkata, dengan pencapaian sebegitu, pengurusan dan pentadbiran kampung itu kini menikmati keistimewaan di mana pelbagai agensi dan kementerian berlumba-lumba menawarkan pelbagai bentuk bantuan tanpa perlu bersusah payah memohon seperti kampung lain.
“Semua itu boleh dicapai kerana mereka mempunyai kesungguhan dan model pengurusan dan pentadbiran kampung yang baik. Semua penduduk kampung tahu peranan mereka dan mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kampung mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sijil pelantikan kepada 47 Pengerusi JPKK baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan pada Isnin.
Turut hadir ialah Pemimpin Kemajuan Masyarakat Ranau, Rosdi Abdul Ghani, Pegawai Khas Adun Karanaan, Jupirin Haji Ruhimin, Pegawai Kemajuan Masyarakat Karanaan, Haji Suhaimi Manjun dan Penyelia Kemajuan Masyarakat, Jarden Datuk Haji Jirin.