Andi (tengah) bergambar kenangan dengan penerima bantuan IKS 2022, hari ini
TAWAU: Kerajaan sentiasa komited dalam membantu usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
“Kementerian saya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam usaha untuk memperkasakan usahawan di Negeri Sabah.
“Sesungguhnya kerjasama erat ini adalah amat diharapkan agar usaha untuk membantu golongan usahawan PMKS akan dapat diteruskan.
“Kerjasama ini diharapkan dapat membantu komuniti usahawan di sekitar kawasan Tawau supaya bertambah maju khususnya kepada usahawan PMKS selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021 – 2025 dan Dasar Keusahawanan Negara (DKN 2030),” kata beliau.

Andi Muhammad Suryady Bandy
Menurut Andi, komitmen Kerajaan Negeri melalui MIDE dijelaskan dalam Pelan Pembangunan SMJ dan diterjemahkan melalui Misi Kementerian iaitu menggalakkan PMKS sebagai industri sokongan utama dan pemangkin kepada pembangunan industri pembuatan.
“Pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Sabah bagi tahun 2021, Sektor Pembuatan telah menyumbang sebanyak 7.5% bersamaan RM 5.9 Bilion.
“Daripada jumlah ini, 69% disumbangkan oleh Industri Pemprosesan Makanan yang terdiri daripada Usahawan PMKS di negeri Sabah.
“Justeru, bagi meningkatkan sumbangan Sektor Pembuatan kepada KDNK negeri Sabah, Usahawan PMKS perlu memainkan peranan dengan meningkatkan hasil produk usahawan untuk pasaran tempatan dan juga luar negeri, sekaligus menambah peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri Sabah,” kata beliau.
Andi yang juga merupakan Ahli Parlimen P.191 Kalabakan dan ADUN N.71 Tanjung Batu berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Tawau pada Sabtu.
Karnival itu dianjurkan untuk membantu Usahawan PMKS meneroka peluang pasaran baharu, meningkatkan hasil jualan, menjalankan padanan perniagaan bersama pasaraya besar dan memperkenalkan produk buatan Usahawan PMKS kepada penduduk di kawasan Pantai Timur.
“Saya difahamkan sebanyak 30 gerai pameran di bawah Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan 80 gerai jualan Usahawan PMKS dan peniaga terlibat dalam karnival ini,” katanya lagi.
Tambahnya, kelembapan pertumbuhan ekonomi akibat Covid-19 memberi kesan negative kepada PMKS, syarikat berskala pertengahan dan multinasional, termasuk sektor industri serta perkhidmatan.
“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 65.5 peratus syarikat menghadapi cabaran ketiadaan pelanggan manakala 45 peratus syarikat akan mengambil tempoh lebih 6 bulan untuk kembali pulih,” kata beliau.
Di Sabah, tambah Andi, MIDE akan berusaha memajukan lagi usahawan-usahawan ini menjadi lebih produktif serta berdaya maju dalam menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan seterusnya membantu meningkatkan sumbangan kepada sektor pembuatan.
“Bagi tujuan ini, MIDE melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) akan menyediakan latihan dan kursus, meningkatkan kualiti pembungkusan produk, menyediakan premis kedai untuk ruang perniagaan dan membantu dalam pemasaran ke pasaraya tempatan dan ke Semenanjung Malaysia termasuk pasaran antarabangsa di samping memberi bantuan mesin dan peralatan untuk menambah kapasiti pengeluaran para usahawan,” katanya.
Oleh itu, tambahnya, atas keprihatinan Kerajaan Negeri kepada Usahawan PMKS di negeri Sabah, jumlah peruntukan bagi Bantuan SME-Up pada tahun 2023 telah meningkat kepada RM15 Juta berbanding RM10 Juta yang diperuntukan pada tahun 2022.
Dengan tambahan peruntukan ini, katanya, pihak Kementerian melalui DIDR telah menambah lagi kategori bantuan kepada Program Persijilan MeSTI dan Halal yang mana program ini akan membantu mengurangkan bebanan Usahawan PMKS bagi mendapatkan Pensijilan MeSTI dan Halal pada produk mereka.
“Kementerian saya juga melalui DIDR akan membuka beberapa lagi Pusat Produk IKS di beberapa daerah sebagai satu inisiatif untuk menyediakan ruang untuk mengumpul, mempamer, mempromosi dan menjual produk keluaran usahawan tempatan dari seluruh daerah.
“DIDR akan membuka 2 lagi Pusat Produk IKS Sabah pada tahun ini iaitu di daerah Tawau dan Lahad Datu. Kini terdapat 8 Pusat Produk IKS yang telah dibuka iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens, Beaufort, Ranau, Papar, Kota Marudu, Pasaraya Oceanus dan Tuaran,” kata beliau.
Bagi memperluaskan pasaran produk ke pasaraya tempatan, Andi menambah bahawa DIDR telah bekerjasama dengan Pasaraya Bataras, Kedai Mesra Petronas, Kojasa Mart dan SCC Outlet.
Manakala bagi pasaran di luar negeri Sabah, kata beliau, DIDR telah membuka Authentic Sabah Mart yang terletak di GM Klang Wholesale City, Selangor.
“Di samping itu, DIDR juga membantu mempromosi dan memasarkan produk Sabah ke pasaran Antarabangsa melalui ekspo-ekspo perdagangan Antarabangsa yang diadakan di seluruh dunia seperti Gulfood di Dubai, Thaifex di Bangkok, FHA Expo di Singapura dan Interfood di Jakarta,” kata beliau.
Pada 20 Mei 2023 yang lalu, kata Andi, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan logo ‘Authentic Sabah’ dalam bentuk hologram yang akan diedarkan secara percuma kepada semua usahawan yang berdaftar dengan DIDR.
Turut hadir, Ahli Parlimen P.190 Tawau, Lo Su Fui; ADUN N.70 Kukusan, Rina Haji Jainal; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang; Wakil Ketua Polis Daerah Tawau, ASP Helmi Mat Yusoff; Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan, Mohd. Ridzuan Ramli,; Pengurus Pembangunan Usahawan Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Abd. Rahim Md. Zain dan lain-lain.