Kylian Mbappe
PARIS: Kylian Mbappe lebih rela disisihkan oleh Paris Saint-Germain (PSG) sepanjang musim depan daripada menerima tawaran lumayan Al-Hilal untuk bermain di Arab Saudi.
Terdapat laporan mengatakan kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal membentangkan tawaran ‘luar biasa’ buat Mbappe yang telah dipersetujui PSG.
Dia bakal menikmati 700 juta euro (RM3.5 bilion) setahun sebelum melengkapkan perpindahan impian ke Real Madrid tahun depan.
PSG mahu menjual aset berharga mereka sekarang daripada membenarkan dia pergi secara percuma kerana Mbappe hanya mempunyai baki kontrak setahun bersama gergasi bola sepak Perancis itu.
Mereka bagaimanapun mempunyai tugas besar untuk memujuk kapten Perancis itu menandatangani kontrak pelepasan ke kelab Arab Saudi.
Media yang berpangkalan di Madrid, Relevo melaporkan, Mbappe, 24. tidak mahu menyertai Al-Hilal dan lebih suka menghabiskan sepanjang musim depan di bangku simpanan PSG.
“Perkara ini tidak lebih daripada mengukuhkan keazaman pemain, yang mempunyai kontrak setahun yang tidak boleh diabaikan.
“Jika dia perlu kekal di bangku simpanan, dia akan kekal, kita akan lihat berapa lama kerana Liga Juara-Juara akan datang tidak lama lagi… jika mereka menang, maka semuanya baik.
“Begitupun bagaimana anda mempunyai pemain seperti itu di tempat duduk simpanan jika keadaan tidak berjalan lancar,” kata sumber yang rapat dengan pemain itu kepada Relevo.
Sebelum ini, Manchester United, Chelsea, Tottenham, Barcelona dan Inter Milan turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan Mbappe.
Perpindahan ke Barcelona dan Inter nampaknya tidak mungkin berlaku kerana melibatkan jumlah dana yang besar.
Pemenang Piala Dunia 2018 itu dipercayai telah menolak perpindahan ke Tottenham.
Begitupun United yang bakal mempunyai keupayaan kewangan jika mereka diambil alih oleh hartawan Qatar, Sheikh Jassim, boleh dapat menandatanganinya pada musim panas ini.
“Ada beberapa kelab yang lebih mampu mencapai persetujuan dengan mereka, terutamanya di United dan pintu-pintu itu tidak boleh ditutup sepenuhnya.
“Itu seperti seorang syeikh membazirkan berjuta-juta untuk membawanya ke liga kecil,” tambah Relevo.