SMK Matunggong- gambar sumber Facebook
MATUNGGONG: Program Memperkasa Kecemerlangan Akademik daerah Matunggong akan diadakan di Dewan Terbuka Pekan Matunggong pada 27 Julai 2023.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.5 Matunggong dengan kerjasama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).
Program ini bertujuan untuk memberikan seberapa banyak input kepada para lepasan SPM dan STPM mengenai peluang melanjutkan pengajian serta bantuan kewangan kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke IPTA atau IPTS.

Julita Majungki
Pengerusi pelaksana program, Wellson Magusun berkata, Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Julita Majungki yang juga ADUN N.5 Matunggong akan menyempurnakan perasmian program ini.
Semasa program ini nanti, Julita juga akan menyerahkan insentif wang tunai sejumlah RM54,300 kepada 91 orang pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan sekurang-kurangnya 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022.
“Pemberian insentif wang tunai ini adalah pemberian kali ketiga berturut-turut sejak Datuk Julita menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan N.5 Matunggong,” kata Wellson.

Wellson Magusun
Program sehari ini akan dihadiri oleh beberapa pempamer pendidikan daripada IPTS yang terdapat di Negeri Sabah.
Selain itu, tiga agensi kerajaan yang terlibat dengan pemberian biasiswa dan pinjaman pendidikan juga turut memberikan taklimat.
“Saya mengharapkan agar semua lapisan masyarakat, ibu bapa, lepasan SPM dan STPM tahun 2022 supaya dapat meluangkan masa menghadiri program ini.
“Mari bersama merealisasikan aspirasi pemimpin kita untuk mengangkat anak-anak Matunggong cemerlang dalam bidang pendidikan,” ujar Wellson lagi.































