Pasukan bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam keretanya. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri dan termasuk ke dalam parit di sini pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus Sainkui berkata, mangsa, Mohammad Ikhlas Rosmi, 30, tersepit dalam keretanya dalam kejadian yang berlaku berhampiran Happy Mart, Taman Indah Jaya, pada jam 4.25 pagi.
Mangsa berjaya dikeluarkan daripada kereta jenis Mitsubishi Lancer itu tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Severinus, BBP Sandakan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian MERS999 dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hazmizan Maksit dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian sejauh empat kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer terbabas sendiri lalu termasuk ke dalam parit tepi jalan.
“Terdapat seorang lelaki, Mohammad Ikhlas Bin Rosmi, 30, telah tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan KKM yang berada di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 5.57 pagi.































