Eric Bailly
LONDON: Tonggak pertahanan Manchester United, Eric Bailly diberitahu, dia tiada dalam perancangan pengurus pasukan, Erik ten Hag selepas diketepikan daripada menyertai kempen pramusim.
Bek kanan Ivory Coast berusia 29 tahun itu menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Marseille dan kini perlu mencari pasukan baharu.
Menurut Utusan Malaysia, United baru-baru ini mengumumkan skuad 31 pemain untuk jelajah di Amerika Syarikat (AS), termasuk Dean Henderson dan Anthony Elanga walaupun kedua-dua pemain sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan.
“Eric Bailly tidak termasuk dalam skuad Manchester United yang akan melakukan perjalanan jelajah AS kerana tiada dalam projek itu dan dijangka pergi dari kelab.
“Turut terkeluar dari senarai Alex Telles, kerana dia kini bersedia menyertai Al Nassr sebaik sahaja dokumen bersama kelab baharu ditandatangani,” kata wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
Marseille mempunyai pilihan untuk menandatangani Bailly secara tetap kerana tempoh pinjamannya, namun memutuskan tidak menggunakan pilihan itu.