Kylian Mbappe
MADRID: Gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid dikatakan telah menyediakan 840 juta euro (RM4.27 bilion) dan menyimpan jersi No. 9 untuk membawa masuk bintang Perancis, Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain (PSG).
Mbappe sebelum ini meluahkan beberapa perkara yang tidak disenangi di PSG dan enggan menyambung kontrak yang tamat pada hujung tahun depan.
Bintang penyerang Perancis itu bagaimanapun menegaskan, dia mahu menghabiskan kontraknya sehingga Jun 2024 dan hanya pergi selepas menjadi ejen bebas.
Begitupun PSG memberi tempoh kepada Mbappe sehingga 31 Julai ini untuk menandatangani kontrak baharu atau dia harus meninggalkan Paris.
Perkembangan tersebut memberi khabar gembira buat Real yang sudah lama mahukan khidmat pemain berusia 24 tahun itu.
Menurut Utusan Malaysia, Defensa Central melaporkan, Real sudah menyediakan kontrak enam tahun untuk Mbappe dengan nilai 30 juta euro (RM152 juta) setahun.
Walaupun jumlah ini jauh lebih rendah daripada gajinya di PSG, namun dia akan menerima bonus perpindahan 20 juta euro (RM101 juta) setiap musim, ditambah pengiklanan 90 juta euro (RM458 juta).
Secara keseluruhan, sepanjang enam tahun itu, Mbappe akan menikmati 840 juta euro jika berpindah ke Santiago Bernabeu.
Real yakin dapat membawa masuk Mbappe dan telah memperuntukkan jersi No. 9 untuk bintang Perancis itu.
Perpindahan ke Sepanyol akan membawa mesej Mbappe sedia membuat perubahan besar dalam kariernya.
Jika selama ini dia sinonim dengan No. 7 di PSG, namun di Real, nombor itu disimpan untuk bintang Brazil, Vinicius Junior.