Anwar Ibrahim bersalaman dengan seorang anggota PGA ketika menghadiri Program Malaysia Madani Bersama Warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM di Dewan Serbaguna Batalion 2, PGA Kulim.
ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak berkuasa agar tidak sama sekali bertolak ansur dengan apa juga unsur yang menggugat keamanan tanah air tercinta.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, perkara itu merangkumi perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan seperti kedaulatan negara dan kemuliaan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan yang menjadi tonggak keamanan negara.
“Bagi menjaga keamanan, prinsip-prinsip itu tak boleh dipertikai dengan jaminan untuk tidak menindas kaum mahu pun agama lain. Kita jamin untuk memberi pengiktirafan serta hak kepada semua warganegara tetapi jangan diizinkan perkara-perkara tersebut dipertikai kerana itulah rahsia terbesar bagaimana Malaysia kekal aman dan dipercayai.
“Saya tanya dua orang minggu ini iaitu pertamanya orang paling kaya di dunia, Elon Musk serta kedua Richard Lim yang merupakan antara peniaga terkaya di Hong Kong mengapa mereka mahu datang melabur di Malaysia?
“Mereka kata kerana negara ini mengagumkan dan aman. Siapa yang boleh tuntut kredit daripada perkara itu, bukan saya tetapi PDRM dan agensi keselamatan yang mempertahankan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Malaysia Madani Bersama Warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM di Dewan Serbaguna Batalion 2, PGA Kulim di sini, kelmarin.
Tambah Perdana Menteri, keamanan negara adalah lebih penting daripada mana-mana individu.
“Orang nak lawan dari segi parti, kritik Perdana Menteri atau kritik kerajaan dalam konteks perundangan silakan tetapi kalau langgar prinsip Perlembagaan, soal negara perlu lebih penting dari mana-mana individu.
“Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menjalankan tugas-tugas ini,” katanya.