Keadaan kenderaan terlibat dalam kemalangan di Papar. – Ihsan Bomba
PAPAR: Lima orang lelaki cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sendiri dan melanggar pokok di Kampung Rigi, Pengalat Kecil, di sini, awal pahi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2.12 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Dahlan Jainudin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh empat kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax telah terbabas sendiri dan melanggar pokok di tepi jalan.
“Terdapat lima orang mangsa terlibat telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di tempat kejadian dan seterusnya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 2.37 pagi.

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kota Kinabalu. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di KOTA KINABALU, sebuah kereta terbabas sendiri di Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephens, pada jam 4.56 pagi ini.
Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu memberitahu, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Mohd. Azlee Abdullah bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh tujuh kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbabas sendiri ke parit di tepi jalan.
“Tiada mangsa terlibat. Tindakan pasukan bomba membuat pemeriksaan di kawasan kemalangan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 5.29 pagi.