Peserta Tour de France diancam dengan taburan paku pada peringkat kedua Isnin.
SAN SEBASTIAN: Pelumba pasukan Intermarche-Circus-Wanty, Lilian Calmejane menyelar ‘orang bodoh’ yang menabur paku di jalan hingga menyebabkan dia berdepan masalah besar pada peringkat kedua Tour de France (TdF) Isnin.
Calmejane menyiarkan video di media sosial yang menunjukkan lima paku menusuk ke tayar depan basikalnya, dan beberapa pelumba lain turut berdepan nasib serupa pada perlumbaan yang berlangsung di wilayah Basque, utara Sepanyol.
Menurut Utusan Malaysia, jurulatih Jumbo-Visma, Grischa Niermann memberitahu portal sukan Eurosport, beberapa paku ditemui di laluan perlumbaan berhampiran pendakian Alto de Jaizkibel, kira-kira 36 kilometer (km) dari penamat di San Sebastian.
Jonas Vingegaard (Jumbo-Visma) antara pelumba yang terjejas, dan jaguh Denmark itu terpaksa menggunakan basikal ganti di kaki pendakian terakhir.
Pelumba pasukan Ineos Grenadiers, Tom Pidcock pula menduduki tempat keempat walaupun berkayuh perlahan ke garisan penamat kerana tusukan paku.
“Terima kasih kepada manusia ‘bodoh’ seperti ini.
“Ketahuilah pelumba boleh terjatuh dan mengalami kecederaan buruk gara-gara anda, si bodoh’,” kata Calmejane sambil menunjukkan lima paku yang tertusuk di tayar basikalnya.
Pasukan Jayco-AlUla antara yang menjadi mangsa paku, namun mereka bernasib baik pelumba utama, Simon Yates berjaya mengelak insiden tersebut.
Perlumbaan sejauh 209km dari Vitoria-Gasteiz ke San Sebastian itu dimenangi pelumba Perancis, Victor Lafay yang menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya, Cofidis selepas 15 tahun.
Kemenangan sulung buat Cofidis sejak 2008 itu membolehkan Lafay mendaki ke tempat keempat dalam kedudukan keseluruhan.
Juara peringkat pertama, Adam Yates mengekalkan jersi kuning pendahulu keseluruhan manakala pelumba Belgium, Wout Van Aert berada di tempat kedua pada hari kedua di hadapan Tadej Pogacar selepas kedua-dua saling bersaing di garisan penamat.































