Masidi (lima dari kiri) bergambar bersama Tunku Yaacob (empat dari kiri) dan rombongannya serta para pegawai Kementerian.
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada Melewar Industrial Group Berhad yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutif, Tunku Dato’ Yaacob Khyra di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Semasa kunjungan tersebut, Menteri dimaklumkan tentang rancangan pengembangan syarikat itu ke Sabah, termasuk pembukaan tiga lokasi pawagam 10Star Cinemas baharu di Tawau, Kota Marudu dan Benoni, Papar menjelang akhir tahun ini.
Masidi menekankan bahawa lokasi-lokasi baharu ini bukan hanya menyediakan hiburan, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan dan latihan dalam industri operasi pawagam.
Beliau berharap pengembangan ini akan memotivasikan para pemain industri filem Sabah untuk menghasilkan filem-filem berkualiti tinggi.
Onn Norshal Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas Sdn Bhd (anak syarikat Melewar Industrial) berkata, dengan penambahan tiga lokasi ini 10Star Cinemas akan menjadi rangkaian pawagam terbesar di Sabah dengan jumlah kesemuanya enam lokasi.
Tunku Yaacob juga memaklumkan Menteri mengenai usaha-usaha lain Melewar, termasuk pembukaan sebuah sekolah menengah antarabangsa di Kota Kinabalu menjelang Januari 2024.
Turut hadir ialah Anand Kanagasingam, Ketua Pegawai Operasi MAA Group Berhad, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah dan Rina Jainal, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah.































