Hajiji (tengah) bersama Ahli-ahli Majlis Tertinggi parti pada mesyuarat AMT hari ini.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengambil ketetapan menyokong penuh Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, parti juga menyokong dan mendukung segala usaha serta komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah dalam menangani masalah yang diwarisi dari kerajaan lalu seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah yang lebih baik.
“Parti Gagasan Rakyat Sabah juga menyokong komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus Sabah dalam menuntut hak-hak rakyat dan negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Negara,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di ibu pejabat parti di Alamesra di sini hari ini, yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Menteri.
Menurut Nizam, AMT Gagasan Rakyat juga mengambil maklum ke atas sambutan dan respon positif daripada rakyat di seluruh pelusuk negeri Sabah untuk menyertai dan memohon menjadi ahli Gagasan Rakyat.
Semua bahagian Gagasan Rakyat seluruh Sabah juga diminta untuk memperkemas jentera parti bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, tambahnya.
Sementara itu, Nizam memaklumkan mesyuarat peringkat cawangan parti akan diadakan daripada 17 Julai 2023 sehingga 31 Ogos 2023, manakala mesyuarat peringkat bahagian akan dibuat dari 23 September sehingga 15 Oktober 2023.
Katanya, Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Pusat akan diadakan pada 25 November 2023 dan Persidangan Agung Tahunan parti pada 26 November 2023.
“Pihak urus setia Parti Gagasan Rakyat Sabah akan menghantar surat pekeliling berkaitan mesyuarat tahunan ini kepada semua bahagian seluruh Sabah,” katanya.



























