Juliah diiringi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi (kiri) menyampaikan Anugerah Ikon Usahawan kepada Pengusaha Avanus Beauty & Wellness, Elizabeth Justin sempena Majlis Perasmian Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) KEMAS Negeri Sabah 2023 di Suria Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Usahawan wanita perlu meningkatkan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran bagi membantu menentukan hala tuju perniagaan mereka.
Justeru, Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, percaya pelaksanaan Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) dapat meningkatkan ilmu keusahawanan peserta, bukan saja dalam aspek menambah pendapatan malah mempromosikan produk yang telah dihasilkan.
“Program pada hari ini amat bermakna khususnya kepada usahawan wanita. Saya berharap program ini akan memberi peluang kepada usahawan wanita berkongsi pengalaman dan pandangan antara satu sama lain bagi memajukan perniagaan masing-masing.

Juliah ketika melawat gerai pameran sempena Majlis Perasmian Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) KEMAS Negeri Sabah 2023 di Suria Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
“Bidang keusahawanan juga memerlukan komitmen yang tinggi, justeru saya menggesa agar usahawan wanita memanfaatkan teknologi terkini untuk memajukan lagi bidang keusahawanan yang diceburi.
“Sekiranya teknologi terkini dikuasai sepenuhnya, ia bukan sahaja menjimatkan masa, tenaga dan wang bahkan berupaya melipatgandakan keuntungan dan mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Program WINS dari Desa ke Global peringkat negeri Sabah Tahun 2023 di Suria Shopping Mall, di sini, hari ini.

Juliah ketika melawat gerai pameran sempena Majlis Perasmian Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) KEMAS Negeri Sabah 2023 di Suria Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Juliah berkata, bagi memastikan usahawan wanita terus kekal bersaing pada masa hadapan, mereka harus menambah nilai produk yang dihasilkan.
“Saya berharap menerusi Program WINS ini, ia akan membantu golongan wanita untuk terus bersaing sebagai usahawan, bukan saja di negeri ini malah hingga ke peringkat gobal,” katanya.































