Keadaan Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan di Tambunan awal pagi ini.
LAHAD DATU: Lapan orang cedera dalam dua kemalangan berasingan di sini dan Tambunan.
Enam daripada yang cedera terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan yang berlaku di Jalan Seri Perdana pada jam 8.42 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid berkata, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohamud Punya dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh enam kilometer dari BBP itu, didapati terdapat tiga buah kenderaan jenis Perodua Bezza, Nissan Grand Livina dan Proton Persona telah terlibat dalam kemalangan itu.
“Terdapat lima orang mangsa berada di dalam Perodua Bezza dan seorang pemandu kenderaan Nissan Grand Livina yang mengalami kecederaan dan dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital,” katanya.
Menurut Sumsoa, seorang pemandu dan dua orang penumpang Proton Persona tidak mengalami kecederaan.
Setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan pada jam 9.32 malam, katanya.

Keadaan kemalangan tiga kenderaan di Lahad Datu.
Sementara ifu, di TAMBUNAN, dua orang lelaki cedera selepas Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Proton Iriz di Kampung Dakota pada jam 1 pagi hari ini.
Ketua Balai BBP Tambunan, PPgB Desmond Ak Micky@Dominic berkata, panggilan diterima menerusi talian balai dan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Selverinus Sixtus Geoffrey bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh dua kilometer dari BBP itu, didapati terdapat dua orang mangsa terlibat dalam Perodua Viva mengalami kecederaan dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans bersama jentera EMRS,” katanya.
Kata Desmond, pemandu Proton Iriz tidak mengalami kecederaan.
“Pemeriksaan dijalankan di sekitar lokasi kejadian memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 1.37 pagi,” katanya.































