Keadaan kereta yang terbabas sendiri dan terbalik. – Ihsan Bomba
SIPITANG: Seorang wanita cedera selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terbabas sendiri di sini pada kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, PPgB Calvin Joe Jeafery berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Patarikan, Sindumin pada jam 12 tengah hari.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Syahdennie Alidinsah dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 20 kilometer dari BBP itu, didapati sebuah kenderaan jenis Perodua Axia telah terbabas sendiri dan terbalik di tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa wanita, berusia 20an yang terlibat telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Calvin, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di kawasan kemalangan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 12.50 tengah hari,” katanya.





























