Masiung menunjukkan poster sebagai gimik pembentukan AJK Wanita Gagasan Rakyat Kuamut, sambil disaksikan Jahiah (kanan).
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut telah membentuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita bahagian Sabtu lalu, diketuai oleh Jahiah @ Jalilah Apiang.
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah yang mengetuai parti itu di kawasan Kuamut, menyempurnakan pembentukan sayap wanita itu dalam satu mesyuarat khas di sebuah hotel di sini.
Mesyuarat telah memilih Jahiah sebagai Ketua Wanita dan Timbalannya, Bibi Simen.
Sementara Nolita Raipin, Minah Dris dan Jukiah Kuagang masing-masing dipilih sebagai Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan.
Turut dilantik ialah Alysia Tarajun, Eng Soon Joo, Nulisah KK Ambu, Rosminah Ungkat, Radiah Kutang, Aliza Abam, Helena Julmin, Ainah Bungin, Bichi Gani, Lily Linda Koumpin, Jislin Koumpin, Ladia Taki dan Anne Gembiau.
Masiung berpesan kepada AJK Wanita supaya memainkan peranan aktif bukan sahaja dalam politik tetapi juga program masyarakat dan sosial.
Katanya, tidak dapat disangkal peranan wanita dalam politik di seluruh negara adalah sebagai jentera parti yang memainkan peranan sebagai perayu undi semasa pilihan raya.
“Tetapi sebagai pemimpin wanita, jawatankuasa itu perlu dijadikan platform untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ADUN Kuamut itu berkata, walaupun tempoh pilihan raya masih jauh namun gerakan di peringkat awal harus dimulakan dengan membentuk jawatankuasa wanita di peringkat cawangan.
Masiung mahu anggota AJK Wanita Gagasan Rakyat Kuamut tidak hanya menumpukan kepada agenda politik semata-mata tapi mereka juga harus menabur bakti dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
Penubuhan AJK Bahagian, Sayap Pemuda dan Beliawanis akan menyusul kemudian.































