Dr. Joachim (tengah) menerangkan sesuatu kepada ahli mesyuarat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Sebanyak 15 acara termasuk dua yang baharu bakal diadakan sempena perayaan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam memaklumkan ini selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perayaan yang pertama yang diadakan di bangunan Wisma Innoprise, di sini, hari ini.
Katanya, dua acara baharu yang akan diadakan itu iaitu acara Pameran Interaktif Digital Institusi Tuan Yang Terutama (TYT) dan Malam Ilmuan Islam.
Beliau menambah, acara lain yang bakal diadakan ialah Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa; Istiadat Perbarisan, Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Kebesaran Negeri Sabah, Majlis Jamuan Negeri, Majlis Sanjungan Kasih, konvoi bermotosikal berkuasa tinggi PDRM bersama Tuan Yang Terutama, Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-kanak Istimewa dan Anak-anak Yatim, Berbasikal Bersama TYT, Majlis Perasmian Pameran Khas ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama’, Majlis Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah, Kejohanan Golf Amal TYT, Majlis Sambutan Hari Etnik dan Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah.
Urusetia Jawatankuasa Induk terdiri daripada kakitangan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, selaku Ketua Urusetia, Faridah Giau.
Mesyuarat hari ini membincangkan cadangan acara sambutan perayaan dan agihan tugas.
Hadir sama ialah Pembantu-pembantu Menteri KKTP yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa iaitu Datuk Isnin Aliasnih dan Mohamad Hamsan Hj Awang Supain, dan Setiausaha Tetap yang juga Setiausaha Jawatankuasa Induk, Datuk Dr. Jamili Nais.
Dr. Joachim mengucapkan terima kasih dengan kehadiran semua ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Persekutuan Sabah, Mayor, Bandaraya Kota Kinabalu; Pesuruhjaya Polis, PDRM Kontinjen Sabah, Panglima Lima Divisyen, Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Kem Lok Kawi; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Pembangunan dan Keusahawanan, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Setiausaha Tetap kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Setiausaha Sulit kepada TYT, Setiausaha, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri, Pengarah Bahagian Istiadat dan Protokol Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri serta jabatan-jabatan kerajaan negeri.































