MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam satu serangan tembak-menembak terhadap pasukan polis di lebuh raya di utara Mexico.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Keselamatan Awam Nuevo Leon, Gerardo Palcios berkata, anggota pasukan keselamatan diserang oleh sekumpulan individu bersenjata yang menaiki tiga trak berperisai.
“Seramai 10 suspek jenayah terbunuh dan empat pegawai cedera dalam kejadian tembakan itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Serangan itu berlaku di sepanjang lebuh raya antara wilayah Nuevo Leon dan Tamaulipas, yang sering dilanda keganasan berkaitan dengan jenayah terancang.
Laluan antara kedua-dua wilayah itu sering menjadi lokasi beberapa jenayah termasuk rompakan dan penculikan.
Lebih 340,000 kes pembunuhan dan hampir 100,000 kes individu hilang yang kebanyakannya dikaitkan dengan aktiviti kumpulan jenayah terancang, dilaporkan di Mexico.
Data itu direkodkan sejak kerajaan melancarkan operasi anti-dadah pada 2006.