Phoong (tengah) bersama Pembantu Menteri Kementerian, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Thomas Logijin (kiri)
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe menegaskan bahawa setakat ini tiada syarikat pelabur yang telah menamatkan operasi dan keluar dari Sabah.
Malah, katanya, Kerajaan Negeri telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) berimpak tinggi iaitu syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan semasa pandemik Covid-19 berdasarkan maklumat yang diterima dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Mlaysia (MIDA).
“Selain itu, Kerajaan Negeri telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) berimpak tinggi iaitu syarikat Kumpulan Kibing dari China dan syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dari Singapura,” kata beliau.
Phoong berkata demikian semasa menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Darell Leiking (Moyog) yang bertanya berapa banyak pelabur yang telah keluar dari Sabah ataupun menghentikan pelaburan mereka di Sabah.
Kepada pertanyaan daripada Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan) dan Justin Wong (Sri Tanjong) berhubung status pelaburan bagi syarikat-syarikat pelabur asing seperti SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd, Kumpulan Kibing dan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd, Phoong berkata, bagi syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd (nilai pelaburan RM4.28 bilion), projek pembinaan Kilang Pembuatan Kerajang Tembaga (Copper foil) kini sudah 75.9 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.
“Jumlah peluang pekerjaan yang telah diwujudkan berjumlah 210 daripada 500 orang di mana peratusan jumlah pekerjaan yang diperolehi oleh rakyat Sabah setakat ini ialah 78 peratus.
“Bagi Kumpulan Kibing (nilai pelaburan RM2.48 bilion), projek pembinaan Kilang Pembuatan Kaca Solar (KKIP) kini sudah 50 peratus siap dan juga dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini. Jumlah peluang pekerjaan yang telah diwujudkan ialah 652 daripada 1,800 orang di mana peratusan jumlah pekerjaan yang diperolehi oleh rakyat Sabah setakat ini ialah 70 peratus.
“Bagi projek Pengekstrakan dan Kilang Pemprosesan Pasir Silika di Sikuati, Kudat di bawah Kumpulan Kibing, status pembinaan kilang kini pada tahap 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya juga pada hujung tahun ini. Jumlah peluang pekerjaan yang telah diwujudkan ialah seramai 134 daripada 300 orang dan peratusan jumlah pekerjaan yang diperolehi oleh rakyat Sabah setakat ini ialah 79 peratus.
“Bagi syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (nilai pelaburan RM19.8 bilion melalui tiga fasa pelaburan), status projek pembinaan Kilang Pembuatan Green Steel Fasa Pertama (SOGIP) masih pada tahap di mana pelabur sedang menyediakan reka bentuk kilang dan jeti persendirian, Pelan Pembangunan (DP) dan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Kilang ini dijangka siap pada suku keempat tahun 2026, di mana jumlah peluang pekerjaan yang telah diwujudkan setakat ini ialah 19 daripada 1,752 jawatan telah diwujudkan walaupun kerja-kerja pembinaan kilang belum dimulakan. Peratusan jumlah pekerjaan yang diperolehi oleh rakyat Sabah setakat ini ialah 63 peratus,” kata beliau.
Bagi satu lagi pertanyaan Justin berhubung jumlah kekosongan pekerjaan yang ditawarkan kepada rakyat Sabah dan kursus atau latihan yang diberikan melalui Pelaburan Langusng Asing (FDI) syarikat Esteel, Phoong berkata, antara syarat atau garis panduan untuk kelulusan Federal Manufacturing License (FML) yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah jumlah tenaga kerja sepenuh masa syarikat pelabur mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia manakala 20 peratus lagi adalah pekerja asing atau ekspatriat.
Lanjutan daripada itu, kata beliau, Kerajaan Sabah telah menetapkan agar 80 peratus daripada 80 peratus syarat minima jumlah tenaga kerja sepenuh masa, hendaklah ditawarkan kepada rakyat Sabah.
“Secara pengiraan kasarnya, sejumlah 1,100 peluang pekerjaan hendaklah diisi oleh rakyat Sabah.
“Kementerian saya sentiasa menggalakkan pihak pelabur untuk menyediakan kursus atau latihan yang sebaiknya dan telah disambut baik galakkan ini oleh pelabur terutamanya dengan menghantar rakyat Sabah yang telah mendapat pekerjaan ke kilang pelabur di luar negeri.
“Kejayaan inisiatif ini amat memberangsangkan yang mana syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd telah menghantar sejumlah 107 jurutera tempatan ke Korea Selatan dan Kumpulan Kibing telah menghantar sejumlah 94 jurutera tempatan ke China dan Semenanjung Malaysia untuk menjalani latihan,” kata beliau.
Phoong menambah, Sabah mendapat limpahan Ekonomi (economic spillover) melalui pelaburan–pelaburan asing oleh syarikat-syarikat seperti SK Nexilis, Kumpulan Kibing dan Esteel.
“Berdasarkan pelaburan-pelaburan asing yang telah saya nyatakan itu, diperhatikan bahawa pelaburan ini sedikit-sebanyak telah membuahkan hasil terutamanya dalam aspek limpahan ekonomi (economic spillover) yang telah diwujudkan.
“Melalui pelaburan ini, industri logistik adalah merupakan antara industri yang terawal mendapat manfaat melalui pelaburan ini yang mana barangan import pihak pelabur semasa pembinaan kilang mereka ini telah dikendalikan oleh syarikat tempatan.
“Industri logistik ini dijangkakan akan terus berkembang semasa kilang pelabur-pelabur ini beroperasi yang mana dianggarkan sejumlah 254 lori akan digunakan sehari untuk mengangkut bahan import dan eksport pihak pelabur sekaligus akan merancakkan lagi aktiviti import dan eksport di Sabah,” kata beliau.
Selain itu, ujar Phoong, syarikat-syarikat tempatan juga mendapat manfaat melalui pelaburan asing ini terutamanya syarikat juru perunding dan pembekal bahan binaan.
“Sebagai tambahan, limpahan ekonomi ini turut dirasai oleh usahawan-usahawan setempat dalam bidang makanan dan minuman bagi memenuhi keperluan pekerja-pekerja semasa pembinaan kilang pelabur.
“Di samping itu, pelaburan-pelaburan asing ini juga telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan semasa pembinaan kilang mereka, di mana SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd wujudkan 3,000 peluang pekerjaan, Kumpulan Kibing 2,000 di KKIP dan 1,000 di Kudat, manakala Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd wujudkan 10,000 hingga 15,000 pekerjaan,” kata beliau.
Phoong berkata, Kementeriannya sentiasa memastikan pelabur asing ini menjaga dan meningkatkan aspek sosio-ekonomi dan sosial penduduk setempat terutamanya dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Menurut ADUN Luyang itu, di samping meneruskan usaha untuk mempromosikan pelaburan di Taman Perindustrian Lahad Datu, POIC juga turut mempromosikan kemudahan pelabuhan yang telah siap dibina.
“Sukacita dimaklumkan bahawa, POIC telah mendapat kelulusan dasar dari Kerajaan Negeri dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk mewujudkan satu kawasan Zon Perdagangan Bebas (Free Trade Zone, FTZ) di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu.
“Pewujudan FTZ ini akan melibatkan kawasan seluas 3,000 ekar dan akan dibangunkan secara berfasa. Untuk permulaan dalam Fasa 1, kawasan seluas 1,000 ekar akan dibangunkan terlebih dahulu,” kata beliau.
Tambah beliau, pada masa akan datang, FTZ di POIC Lahad Datu ini juga akan dapat memenuhi permintaan perdagangan dan eksport dengan jirannya, Kalimantan – yang bakal menempatkan ibu negara baru Indonesia – serta negara lain di wilayah BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina) dengan memanfaatkan laluan perkapalan utama Selat Lombok-Makassar yang melalui Lahad Datu.
“Sesungguhnya kemudahan prasarana dan jaringan komunikasi merupakan aspek yang perlu diberikan penekanan dalam memastikan proses pembangunan dapat berjalan dengan lancar.
“Kekurangan prasarana yang lengkap pastinya akan menjejaskan pelaksanaan pembangunan kawasan FTZ berkenaan.
“Dalam perkara ini, untuk memastikan Taman Perindustrian POIC Lahad Datu sentiasa mendapat perhatian para pelabur asing, penambahbaikan dan penaiktarafan pemacu-pemacu utama harus dilaksanakan dengan kadar yang segera,” kata beliau.
Phoong berkata, ini termasuklah untuk sentiasa memastikan bekalan utiliti asas yang konsisten, stabil dan mencukupi seperti elektrik, air serta telekomunikasi yang lebih pantas dan lebih diyakini.
Kata beliau, sesungguhnya pewujudan FTZ di Taman Perindustrian Lahad Datu ini semestinya memerlukan pemacu-pemacu utama ini dilipat gandakan lagi kapasitinya.
Bercakap mengenai pembangunan di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), Phoong berkata, dengan adanya projek-projek yang dinyatakan tadi sudah tentu ianya akan merancakkan aktiviti import dan eksport di Sabah.
“Sehubungan, dengan itu saya percaya SOGIP akan menjadi salah satu hub aktiviti heavy industry yang utama di Sabah. Ini akan menggandakan lagi aktiviti ekonomi di Sabah,” kata beliau.
Berkenaan kawalan ke atas pelabur-pelabur asing di Sabah yang dibangkitkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), beliau berkata, satu Task Force atau Jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh Kementeriannya untuk memudahcara dan menyelaras semua cadangan pelaburan domestik dan asing.
“Bukan setakat di peringkat cadangan, malah task force ini juga akan menyelaras dan memantau semasa pembinaan kilang sehingga kilang pelabur ini beroperasi.
“Berdasarkan skop tanggungjawab task force ini, sudah pasti kawalan ke atas pelabur asing dapat dijalankan dalam memastikan pelabur-pelabur asing ini terikat dengan perundangan yang berkuatkuasa di Sabah mahupun di Malaysia,” jelas beliau.