Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyerahkan Teks Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr) Juhar Mahiruddin pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 Tahun 2023 di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan 9.2 peratus pada tahun sebelumnya, kata Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan Kabinet Negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor atas usaha gigih dan iltizam kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi negeri Sabah pasca Covid-19, Tun Juhar yakin pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah dirancang secara strategik di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Rancangan Malaysa Ke-12 (RMK12) berupaya untuk mendorong Sabah meneruskan momentum pertumbuhan positif pada kadar yang lebih baik pada tahun ini.
Ini meskipun persekitaran ekonomi global sangat mencabar dan masih tidak menentu, katanya ketika ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, hari ini.
Tun Juhar berkata, Kerajaan Negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan dan segala usaha yang dilakukan untuk memajukan negeri Sabah.
“Kerajaan Negeri menyambut baik Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia MADANI yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 24 Februari 2023. Negeri Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.5 bilion iaitu 3.1 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan pembangunan yang telah dibentangkan dalam belanjawan asal oleh kerajaan sebelum ini. Sebagai tambahan, sebanyak RM2.5 bilion lagi diperuntukkan kepada negeri Sabah dan Sarawak bagi pelaksanaan projek prasarana awam seperti jalan raya, lampu jalan, bekalan elektrik dan air.
“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan 12 ikhtiar Membangun Malaysia MADANI dalam Belanjawan 2023 yang turut merangkumi pelbagai manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah. Antaranya, inisiatif untuk menyegerakan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road sepanjang lebih 1,000 kilometer, membangun bandar-bandar sempadan dengan Kalimantan, Indonesia termasuk Kalabakan yang meliputi pembinaan kemudahan kastam, imigresen, keselamatan dan kuarantin (CIQS), memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak di pedalaman Sabah, mengatasi masalah sekolah daif dan menghapuskan golongan miskin tegar menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Kerajaan Negeri juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memutuskan penyerahan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mengurus projek-projek pembangunan yang bernilai RM50 juta ke bawah. Saya yakin keputusan ini dapat membantu mempercepat dan merancakkan pembangunan di negeri ini. Penurunan kuasa untuk meluluskan projek kepada negeri Sabah akan dapat membantu Kerajaan Negeri untuk merancang projek-projek yang perlu dilaksanakan dengan kadar segera demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Sebagai langkah ke hadapan, Tun Juhar penuh yakin barisan Kabinet Negeri yang dipimpin Hajiji akan terus meletakkan negeri ini di landasan yang tepat melalui pelaksanaan pelbagai usaha dan inisiatif pembangunan.
“Ini termasuk penerokaan secara agresif peluang-peluang perdagangan dan pelaburan berimpak tinggi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.
Tun Juhar juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh, sambil berharap hubungan akrab yang telah terjalin erat di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dapat diperkukuhkan lagi demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan serta semua pihak yang telah menyumbang ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat.
Beliau menyeru semua pemimpin dan rakyat negeri ini untuk terus meningkatkan usaha dan bersatu padu bagi memajukan dan membangunkan negeri Sabah.
“Semoga Tuhan Yang Maha Esa sentiasa melimpahkan kurnia dan rahmatNya kepada kita semua serta melindungi negeri yang kita cintai ini agar terus maju dan makmur serta rakyatnya hidup dalam suasana aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.































