Anika (tengah) diapit oleh Hanelda (kiri) dan Linda (kanan) selepas diumumkan sebagai pemenang Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Daerah Tongod.
TONGOD: Pelajar Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Anika Isty Norman dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod yang berlangsung di Dewan Terbuka Dataran Tongod, pada malam Ahad.
Gadis berusia 23 tahun yang menuntut dalam jurusan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi itu turut memenangi anugerah Miss Tradisi, sekaligus menewaskan tujuh finalis di peringkat akhir.
Naib johan disandang oleh Hanelda Veda Leprus, 25, manakala kakitangan Pejabat Daerah Tongod, Linda Kinoton, 27, di tempat ketiga.
Sementara, anugerah Miss Like FB dan anugerah Miss Favourite masing-masing dimenangi oleh Jeviana Marcos dan Henelda Veda Leprus.
Isteri Wakil Rakyat Kuamut, Datin Grace Elvira E. Ebin memakaikan mahkota Unduk Ngadau kepada Anika yang turut menerima hadiah berupa wang tunai, trofi, pakej pelancongan, barangan elektrik dan sijil kepada para pemenang.
Anika akan mewakili daerah Tongod dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri yang akan berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang pada 30-31 Mei depan.
Perayaan Pesta Kaamatan Tongod dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib yang turut menyampaikan bantuan ihsan kepada 60 pasangan pengantin di daerah itu bersama ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Bantuan RM1,000 kepada setiap pasangan pangantin itu merupakan sebahagian daripada manifesto Masiung yang diperkenalkannya sejak 2018.