JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) nafi laporan berita yang tular di media sosial bahawa harga gula akan dinaikkan dalam masa terdekat.
Menurut Utusan MalaysiaMenterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan memberi jaminan harga gula tidak akan dinaikkan setelah bekalan bahan makanan itu akan sentiasa mencukupi di pasaran.
Menurutnya, pihaknya telah mengadakan tiga pertemuan bersama dua pengilang gula terbesar negara iaitu Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM), bagi memastikan bekalan bahan mentah itu mencukupi.
“KPDN ingin menafikan penularan poster harga gula baharu kononnya RM4.60 baru-baru ini, ia sebagai berita palsu. Kita harap keresahan rakyat tentang isu bekalan dan harga gula dapat diredakan.
“Perbincangan yang diadakan bersama pegawai tertinggi KPDN bersama dua pengilang gula terbesar negara, mereka (pengilang) memberi jaminan bekalan gula negara mencukupi walaupun terdapat kenaikan harga gula dunia serta gas asli.
“Malah, harga gula untuk rakyat juga terus akan kekal. Mekanisme untuk kerajaan mengekalkan harga gula itu akan dibincang dan diputuskan Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pulai di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, di sini kelmarin.
Sebelum ini, akhbar melaporkan isu kekurangan bekalan gula yang berlaku di Pantai Timur dan Kedah menyebabkan rakyat bimbang harga bahan mentah itu akan dinaikkan.
Bagaimanapun, Salahuddin dilaporkan berkata, bekalan gula di Pantai Timur telah pulih dan dikenal pasti berpunca daripada penutupan sementara kilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd. di Johor dan Perai, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, orang ramai boleh membuat laporan sama ada kepada KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penularan poster kenaikan harga gula.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, jika pengilang ingin keluarkan produk baharu terutamanya membabitkan gula, mereka perlu dapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Langkah itu, jelasnya, bagi membolehkan KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terhadap dalang yang menyebarkan poster selain mengganggu ketenteraman awam.
Tambahnya, kerajaan sangat serius dalam memastikan bekalan dan harga gula di pasaran tempatan kekal di sebalik kenaikan harga gula di peringkat global.