Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentangkan Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selama empat hari mulai esok, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, bercanggah dengan dakwaan Pembangkang, Kerajaan Negeri tidak sengaja melengahkan pembentangan Rang Undang-undang untuk mengekang wakil rakyat negeri daripada bertukar parti.
Undang-undang Anti-Lompat Parti melibatkan pindaan Perlembagaan Negeri dan ini memerlukan kelulusan Yang di-Pertua Negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh dibentangkan di DUN, katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat pra majlis di sini hari ini.

Hajiji dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya bersama para Menteri Kabinet dan wakil rakyat kerajaan sebelum mesyuarat pra majlis di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
“Jadi, tidak benar seperti yang didakwa oleh Pembangkang bahawa kita sengaja melengahkannya. Kita kena patuhi prosedur,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Negeri memerlukan majoriti dua pertiga di DUN untuk diluluskan.
“Saya yakin RUU itu akan mendapat sokongan penuh daripada ahli GRS dan Pakatan Harapan.
“Saya juga menggesa wakil pembangkang untuk menyokong RUU itu, kerana mereka juga menyokong agar Undang-undang Anti-Lompat Parti diluluskan di Sabah,” katanya.
RUU Pindaan Perlembagaan Negeri adalah antara empat RUU yang akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri dari 22 Mei hingga 25 Mei.
Selepas mesyuarat pra majlis itu, Ketua Menteri menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hakka dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Hotel Raia, di sini.