Jahid (tengah) bergambar kenangan selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Mesra SMJ Peringkat DUN Tamparuli
TAMPARULI: Lima unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) telah diserahkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, lima buah rumah tersebut merupakan sebahagian daripada 1,500 unit Rumah Mesra SMJ yang disasarkan untuk dibina bagi tahun 2022.
“KPLBS telah dipertanggungjawab untuk menyelaras program Rumah Mesra SMJ dan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil.
“Pada tahun 2022, KPLBS mensasarkan untuk membina 1,500 unit Rumah Mesra SMJ dan diagihkan sebanyak 20 unit kepada setiap DUN.
“Bagi DUN Tamparuli, Pejabat Daerah Kecil telah siap membina sebanyak lima unit Rumah Mesra SMJ iaitu di Kg. Kelian, Kg. Sri Seberang, Kg. Tambalugu, Kg. Pengesaan dan Kg. Dansangai manakala baki 15 unit lagi akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Mesra SMJ Peringkat DUN Tamparuli, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Danin; Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS I, Aftar Nurajat; Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS II, Norsafi Dukah; Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, para penerima Rumah Mesra SMJ terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam sistem e-kasih, memiliki rumah daif, golongan kurang upaya (OKU) dan yang mengalami bencana sama ada kebakaran, banjir dan bencana alam lain.
“Diharapkan dengan pelbagai usaha, inisiatif dan bantuan yang dirancang oleh kerajaan dapat membantu masyarakat luar bandar hidup dalam keadaan yang lebih selesa seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.
“Semoga pemberian ini memberikan sinar kebahagiaan kepada semua terutamanya kepada penerima Rumah Mesra SMJ,” ujar beliau.
Untuk rekod, Rumah Mesra SMJ telah dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada September tahun lepas.
Ia merupakan inisiatif baharu di bawah teras modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Hala Tuju SMJ bagi memastikan rakyat memiliki rumah sendiri.