Anthony Loke Siew Fook
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri kelmarin bersetuju supaya Kerajaan melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan-laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah/Sarawak sempena perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut pada 30 Mei 2023 dan Hari Gawai pada 1 Jun 2023.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kementeriannya telah berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk satu program perintis di mana Kerajaan akan membeli semua baki tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak semasa tempoh tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan kedua-dua perayaan tersebut.
Katanya, harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan-laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah/Sarawak akan ditetapkan sebanyak maksimum RM300 atau mengikut harga sebenar tambang sekiranya harga tiket tersebut kurang daripada RM300.
Harga ini tidak termasuk cukai dan fi.
Beliau berkata, setakat 17 Mei 2023, baki tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 17,708 tiket penerbangan.
Katanya, pecahan baki tiket mengikut tarikh penerbangan dan syarikat penerbangan adalah seperti di bawah:

“Memandangkan tiket penerbangan bagi laluan Johor Bahru-Sibu bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai telah pun habis dijual, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas (charter) dengan kekerapan sekali sehari pada tarikh- tarikh tersebut tertakluk kepada permintaan sebenar.
“Harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan ini juga akan turut ditetapkan sebanyak RM300 dan harga ini tidak termasuk cukai dan fi,” kata Anthony dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula jam 0001 (0001 hours), 20 Mei 2023.
Orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan mulai tarikh tersebut.
Jelasnya, antara terma dan syarat tiket tersebut adalah:
i) perubahan tarikh atau pertukaran penerbangan tidak dibenarkan dan hanya sah untuk tarikh/ penerbangan yang ditunjukkan pada tiket,
ii) tiada pertukaran nama dibenarkan dan tiket penerbangan yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan.
Dalam hubungan ini katanya, mungkin terdapat beberapa variasi kepada terma dan syarat yang ditambahbaik dan ditawarkan oleh sesetengah syarikat penerbangan.
Dengan pembelian tiket ini, pengguna akan dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
“Anggaran kos keseluruhan bagi bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023 adalah sebanyak di antara RM5.8 juta hingga RM11.4 juta, meliputi bayaran perolehan baki tiket penerbangan dan bayaran sewa khas penerbangan.
“Pemberian bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan ini diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman di untuk tempoh perayaan Pesta Kaamatan/Hari Gawai 2023,” ujarnya.































