Ng Jing Xuen memahat sejarah memenangi pingat emas golf individu wanita pada Sukan SEA 2023. – Ihsan Persekutuan Golf Kemboja
PHNOM PENH: Ng Jing Xuen memahat sejarah muncul pemain Malaysia pertama merangkul pingat emas golf individu wanita Sukan SEA, petang tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Jing Xuen yang baru berusia 15 tahun, mengetepikan cabaran juara Amatur Asia Pasifik, Eila Galitsky dari Thailand dalam saingan playoff di Lapangan Golf Garden City, Phnom Penh.
Lebih istimewa, Malaysia turut meraih pingat gangsa dalam individu wanita menerusi Foong Zi Yu, manakala Malcolm Ting meraih pingat gangsa individu lelaki.
Malaysia yang meraih pingat emas individu dan berpasukan lelaki pada Sukan SEA Hanoi tahun lalu akan turun memburu dua lagi kilauan emas apabila acara berpasukan bersambung esok.
Kejayaan Jing Xuen dan Zi Yu meletakkan pasukan negara sebagai pilihan untuk menjuarai saingan wanita.





























