Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kereta di Tawau. – Ihsan Bomba
TAWAU: Sebuah kereta hangus dalam satu insiden kebakaran di sini hari ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin memberitahu, kejadian berlaku di Kampung Balung River, Jalan Bukit Bald, pada kira-kira jam 1.55 petang.
Sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Suheizan Sahak dikejarkan ke lokasi sejurus panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 1.55 petang.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian yang terletak 45 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang telah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hose reel dari jentera bomba,” katanya.
Tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.49 petang, katanya, sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 3 petang.





























