Keadaan sebuah daripada rumah yang terbakar. – Ihsan Bomba
KOTA BELUD: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Muhammad Syazwan Latun berkata, kejadian berlaku di Jalan Kampung Kesapang, pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 11.44 pagi dan sepasukan tujuh anggota diketuai beliau sendiri bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 12 kilometer dari balai itu, kita mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis tidak kekal masing-masing berkeluasan 40x60kaki dan 40x30kaki terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 200kaki dua pancutan dan satu aliran 100 kaki satu pancutan sumber air terbuka berhampiran (parit) menggunakan pam angkut,” katanya.
Menurut Syazwan, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.08 tengah hari.
Operasi ditamatkan pada jam 1.50 petang.





























